Malaysia Dateline

Awas Covid-19: Lagi 3,339 dijangkiti, 240 kes ICU, 10 kluster baharu

Sebanyak 3,339 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes di Malaysia mencecah 158,434 kes.

Pertambahan kes itu menjadikan jumlah kes aktif dan kebolehjangkitan Covid-19 sebanyak 37,782 kes.

Selangor terus melaporkan kes harian baharu tertinggi sebanyak 1,314 kes hari ini diikuti Sabah (393 kes), Johor (362 kes) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 334 kes.

Dalam pada itu, tujuh kematian termasuk seorang bukan warganegara direkodkan menjadikan jumlah kematian Covid-19 di Malaysia sebanyak 601 kes iaitu 0.4 peratus.

Hanya seorang korban berusia 32 tahun manakala enam yang lain berusia 58 hingga 93 tahun dengan pelbagai latar penyakit termasuk kencing manis, darah tinggi, buah pinggang kronik dan jantung.

Sementara itu, 2,676 pesakit pula sembuh manakala 240 individu sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 93 pesakit memerlukan bantuan alat pernafasan.

Sebanyak 10 kluster baharu dilaporkan masing-masing 1 di Johor, Melaka, Labuan dan Pahang manakala dua kluster dikenalpasti bagi setiap negeri Sabah, Kuala Lumpur dan Selangor.

Kesemua 10 kluster baharu itu mencatatkan jumlah keseluruhan 189 kes baharu.