Malaysia Dateline

Awas! HIV banyak berjangkit akibat homoseksual dan biseksual, 78 peratus kes baharu babit umur 20 ke 39 tahun

Sebanyak 68 peratus jangkitan HIV baharu yang dilaporkan di Wilayah Persekutuan sejak 2015 hingga tahun lalu adalah menerusi hubungan homoseksual/biseksual, manakala 26 peratus menerusi hubungan heteroseksual.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata sepanjang tempoh itu, bilangan kes baharu HIV di Kuala Lumpur dan Putrajaya ialah 3,030 kes, dengan kes baharu HIV menunjukkan trend mendatar.

Dalam tempoh sama, 78 peratus kes baharu HIV di Wilayah Persekutuan adalah daripada kategori umur 20 ke 39 tahun iaitu 45 peratus (umur 20-29) dan 33 peratus (umur 30-39).

Menurutnya, kategori umur 40 ke 49 tahun merekodkan 13 peratus manakala enam peratus kes baharu berumur 50 tahun ke atas.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata demikian dalam jawapan bertulis menjawab soalan Dr Tan Yee Kew (PH-Wangsa Maju) di Dewan Rakyat hari ini.

Jelasnya, bilangan kes HIV dilaporkan pada 2015 sebanyak 448 orang atau pada kadar 27.8 kes bagi setiap 100,000 penduduk, manakala bagi 2019, sebanyak 448 kes HIV baharu dilaporkan atau pada kadar 22.5 kes bagi setiap 100,000 penduduk.

“Bagi 2020 dan 2021, kes baharu HIV yang dilaporkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya menunjukkan trend penurunan yang signifikan.

“Namun, ia mungkin kesan kawalan pergerakan akibat pandemik Covid-19 yang melanda seluruh negara, menyebabkan aktiviti saringan HIV tersekat,” jelas Khairy lagi.

Baca juga Doktor hospital swasta tak peka hak, sensitiviti penghidap HIV, dakwa pesakit

Baca juga Lebih 1,000 bangunan pencakar langit, Malaysia rekod antara terbanyak di Asia