Kaum Adam nampaknya perlu berwaspada dengan kuasa ‘sakti’ yang dimiliki sebahagian wanita.
Mengapa? Lihat saja pada penampilan cantik jelita seorang wanita Kanada, Chloe Fountain yang mendakwa berjaya mengubah wajahnya hanya dengan bantuan alat solek.
Cloe menjadi bualan warganet apabila berkongsikan rakaman video dirinya sebelum dan selepas bersolek dengan perubahan drastik hingga mengelirukan orang ramai.
Namun, bintang di platform penstriman video yang telah mengumpulkan hampir sejuta pengikut di TikTok itu tidak mendedahkan usia sebenarnya.
Dia yang juga seorang ibu berkata, dia kelihatan sangat berbeza tanpa solekan sehinggakan sesetengah orang menuduhnya mengedit video yang dihasilkan.
Lapor Agensi yang memetik New York Post, Chloe memang gemar mencetuskan kontroversi dengan penampilan wajahnya.
“Saya cuba mencipta misteri kerana itulah yang membawa pengikut ke halaman saya. Ini matlamat saya kerana saya mahu menjadi seorang personaliti internet,” katanya.
Dalam kebanyakan video Chloe di TikTok, kuasa ‘sakti’ miliknya bermula dengan dia yang mempunyai beberapa kedutan, bintik-bintik dan rambutnya kelihatan tidak terurus melihat kamera.
Selanjutnya, Chloe tampil jelita selepas wajahnya disolek dengan kulit mukanya kelihatan lebih licin, bibir lebih mungil dan rambut lebih kemas.