Awas, malaikat akan beratur mengundi Pas nanti, kata Pemuda Pas Kelantan

Malaikat akan beratur undi Pas dalam PRU nanti, kata Ustaz Ja.

Ucapan Timbalan Ketua Pemuda Pas Kelantan, Nor Azariza Mohd Alawi bahawa malaikat akan datang menolong parti itu dalam pilihan raya nanti kini menjadi tular di media sosial.

“Jadi dalam pilihan raya boleh tak Allah hantar malaikat bawa IC beratur pergi mengundi? Boleh tak? Senang sangat adik-kakok,” kata penceramah Pas yang lebih dikenali dengan nama Ustaz Ja.

Katanya, Allah boleh hantar malaikat menyerupai sesiapa yang tak balik mengundi.

“Pegang IC, berdiri dan beratur di depan kita.

“Kita tegur nampak kawan kita si Man, selepas mengundi sebelah petang kita terjumpa ayah Man tadi. Kita tanya ayahnya, Man dah balik KL ke? Ayah dia jawab Man tak balik pun.

“Jadi Man yang kita jumpa masa mengundi itu siapa? Kita pula berpeluh. Siapa tadi? Itulah malaikat kalau Allah nak bawa turun malaikatnya dalam keadaan begitu,” kata ustaz Ja lagi.

Bagi beliau, itu boleh berlaku dalam pilihan raya nanti.

“Boleh tak adik-akak Allah nak buat begitu? Boleh sangat-sangat,” katanya ketika berceramah di Kampung Kemumin, di Kota Bharu, malam tadi, lapor Malaysiakini.

Beliau turut menjelaskan situasi pada PRU 1990 yang memenangkan PAS dengan 39 kerusi pernah disebut bekas menteri besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat sebagai seolah-olah ada persefahaman antara malaikat di langit dan pengundi di bumi.

 

CATEGORIES
TAGS