Awasi tiga strategi lemahkan Pakatan Harapan

Awasi tiga strategi lemahkan Pakatan Harapan

Terdapat tiga strategi bagi menggugat Pakatan Harapan dan kerajaan persekutuan Malaysia.

Pertama, memecah-belahkan Pakatan Harapan. Kedua, menyusup Pakatan Harapan. Ketiga, memainkan sentimen perkauman dan menggalakkan rasisme sebagai kaedah untuk melemahkan Pakatan Harapan.

Medan bagi pelaksanaan strategi ini ialah media sosial.

Usaha memecah-belahkan Pakatan Harapan ini adalah strategi klasik. Caranya ialah mencari kelemahan hubungan antara dan intra parti-parti Pakatan Harapan.

Barisan Nasional pernah melakukannya ke atas Pakatan Rakyat dan mereka berjaya.

Sebaik saja Pakatan Rakyat ditubuhkan ekoran kemenangan Barisan Alternatif bersama DAP di lima negeri dan menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional, maka ahli strategi gabungan parti itu mengorak langkah untuk memecah-belahkan gabungan parti pembangkang.

Pada tahun 2008, media sosial belum lagi berpengaruh, maka alat yang digunakan ialah media tradisional iaitu akhbar dan televisyen.

Langkah awal ialah mencari kelemahan hubungan antara parti-parti Pakatan Rakyat iaitu PKR, Pas dan DAP.

Loading...

Maka hubungan yang paling rapuh ialah antara Pas dan DAP. Dengan memecahkan Pas dan DAP, Pakatan Rakyat akan tumbang. Tetapi untuk memecahkan Pas dengan DAP, maka ia dimulakan dengan memecahkan Pas.

Maka tiba-tiba akhbar milik Umno memaparkan bahawa Pas terbahagi pada dua iaitu golongan ulama dan Erdogan, yang juga disebut sebagai Anwarinas. Golongan Anwarinas ini digambarkan sebagai pentaksub kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Umum PKR ketika itu. Juga digambarkan golongan ini sebagai penyokong DAP.

Jadi Pas berjaya dipecahkan. Selepas itu dapat dipecahkan antara Pas dan DAP dengan isu Hudud. Selepas perpecahan itu, maka akhirnya PKR dengan Pas pun dapat dipecahkan dan terlerailah Pakatan Rakyat.

Strategi memecah-belah ini pernah dilakukan juga ke atas pembangkang pada tahun 1960-an. Pada masa itu gabungan pembangkang paling kuat ialah Front Sosialis Rakyat Malaya yang terdiri daripada Parti Buruh Malaya, Parti Rakyat Malaya dan Parti Konvensyen Malaya. Pada masa itu medan media adalah akhbar. Maka dicarinya isu yang boleh memecahkan hubungan antara Parti Buruh dan Parti Rakyat.

Kedua-duanya mempunyai pandangan berbeza dalam soal bahasa. Parti Rakyat mahukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Parti Buruh mahukan empat bahasa dijadikan bahasa kebangsaan. Atas isu bahasa hubungan Parti Buruh dan Parti Rakyat berpecah dan Front Sosialis terbubar.

Strategi pemecahan ini tidak perlu dilakukan orang luar. Pihak luar hanya perlu menggalak-galakkannya melalui maklumat yang disebarkan di media massa. Media massa membentuk minda rakyat. Kalau pihak parti kerajaan menguasai semua media massa, maka minda rakyat dapat dibentuk.

Pada masa ini, medan media ialah media sosial. Lebih kompleks berbanding media massa. Parti kerajaan tidak boleh mengawal sepenuhnya media sosial. Tetapi mereka yang banyak sumber mampu menggunakannya lebih berbanding mereka yang kurang mampu.

Maka terhadap Pakatan Harapan, ahli strategi penentangnya juga akan mencari hubungan parti mana yang lemah. Maka dikesannya ialah hubungan antara PKR dan Bersatu, kerana kedua-dua pemimpinnya, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Anwar mempunyai sejarah konfik yang panjang.

Untuk itu dicari pula mana parti yang boleh dipecahkan dulu. Maka didapatinya, titik retak berada di PKR. Iaitu antara kumpulan Azmin Ali dan Rafizi Ramli. Maka dibesarkanlah gambaran bahawa Mahathir di belakang Azmin dan Anwar di belakang Rafizi.

Jadi segala hebahan-hebahan di media sosial bukan saja datang dari pihak Umno, tetapi juga di kalangan PKR dan Bersatu sendiri, yang penulisnya sendiri mungkin tidak sedar, adalah turut menjadi penyumbang kepada perpecahan Pakatan Harapan.

Walaupun ada kalanya catatan, berita atau pandangan itu benar dan berfakta, tetapi jika ia menyumbang kepada perpecahan Pakatan Harapan, maka itulah yang akan terjadi.

Perpecahan Pakatan Harapan akan pasti digantikan dengan regim lama, walaupun atas nama dan bentuk baharu.

Strategi kedua ialah penyusupan. Kaedah ini juga suatu yang sering berlaku dalam sejarah.

Parti Komunis Malaya gagal kerana penyusupan. Dari awal lagi, ia sudah melihatkan kegagalannya kerana perisik Jepun berjaya bukan saja menyusup tetapi menguasai kepimpinannya. Kemudian ia disusup oleh perisik British.

Akhirnya ia berantakan kerana mereka berbunuh sesama sendiri kerana mengesyaki rakan rakan perjuangan mereka adalah juga perisik kerajaan Malaysia.

Kegagalan Parti Rakyat untuk muncul sebagai parti penting orang Melayu pada tahun-tahun 1960-an adalah juga dipercayai akibat penyusupan.

Tetapi apa yang sedang dihadapi oleh Pakatan Harapan adalah penyusupan secara terbuka. Dalam keghairahan mencari ahli bukan saja Bersatu yang terdedah kepada penyusupan, tetapi juga AMANAH sendiri.

Untuk menambah ahli adalah suatu yang perlu. Tetapi penapisan tegas perlu dilakukan untuk meminimumkan penyusupan.

Mungkin untuk menjadikan parti kebal daripada penyusupan adalah suatu yang sukar, kalau tidakpun mustahil, tetapi panel yang meluluskan kemasukan ahli baharu wajar lebih teliti daripada biasa.

Strategi ketiga, yang juga klasik adalah penggunaan sentimen perkauman. Sifat semula jadi sesebuah parti politik dalam negara demokrasi ialah ia merupakan pertubuhan yang memerlukan sokongan pelbagai kaum.

Tidak ada negara di dunia yang tidak berbentuk pelbagai kaum. Sentiasa ada majoriti dan minoriti. Kaum pula adalah suatu konstruk politik dan sosial. Sesuatu kaum pula boleh dibahagikan menjadi suku kaum. Jadi perfikiran secara perkauman tidak ada kesudahan.

Pada waktu sama pula, kemenangan sesebuah parti politik bergantung pada undi majoriti. Memainkan isu perkauman boleh meraih undi.

Maka kaum majoriti mempunyai kelebihan politik dalam sesebuah negara. Sentimen perkauman yang seringkali berkait dengan agama mudah dimainkan. Ia tidak perlu fakta atau pengetahuan, cukup dengan emosi dan perasaan tidak selamat dan rasa dipinggirkan. Lebih-lebih lagi dengan adanya tekanan ekonomi terhadap masyarakat.

Jadi Pakatan Harapan dijadikan sasaran sebagai sebuah gabungan politik yang memihak pada bukan Melayu. Semua dasar dan kenyataan diteliti dan dicari sebarang perkara yang boleh menampakkan pihak Melayu dipinggirkan. Maka perkara-perkara itu dibesarkan melalui media sosial.

Bagi mereka yang tersinggung dengan isu itu, ia akan dipanjang-panjangkan tanpa disedari, termasuk oleh para penyokong Pakatan Harapan.

Maka tImbullah suasana bahawa kerajaan persekutuan Malaysia pimpinan Pakatan Harapan bersikap anti Melayu.

Memang mudah untuk bersemangat perkauman lebih-lebih lagi apabila ia dipanas-panaskan secara beramai-ramai. Tetapi memainkan kaedah perkauman adalah berbahaya.
Amat berbahaya.

Sejarah telah menunjukkan perkauman tidak ada kesudahan. Berbalas dendam turun-temurun hanya menghasilkan penderitaan dan menghancurkan banga dan negara Malaysia.

Masalah berhubung kaum memang ada. Tetapi penyelesaiannya bukan dengan jalan perkauman. Lebih-lebih lagi apabila perkauman hanyalah yang digunakan untuk mendapatkan kuasa.

Tujuannya semata-mata untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan sekurang-kurangnya mengalahkannya dalam pilihan raya.

Maka untuk mempertahankan Pakatan Harapan, para penyokong wajar mengelak dipecahkan, elak disusup oleh pihak lawan dan jauhkan diri sama sekali daripada perkauman.

Bagi pendokong AMANAH, ingatlah bahawa penggerak yang membawa kepada penubuhan parti mereka, serta menjadi pelopor kepada kewujudan Pakatan Harapan ialah sebuah badan bernama Gerakan Harapan Baru.