Malaysia Dateline

Axis REIT sasar nilai pengambilalihan RM200 juta pada 2019

– Axis Real Estate Investment Trust (REIT) Managers Bhd merancang untuk terus mendapatkan dan menilai hartanah yang berpotensi untuk mencapai nilai sasaran pengambilalihan aset RM200 juta pada 2019.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Leong Kit May berkata hartanah tumpuan adalah dalam logistik dan pembuatan dengan pajakan jangka panjang daripada penyewa dan perjanjian yang kukuh.

Beliau berkata ini akan diikuti dengan pergudangan runcit yang terletak di lokasi yang baik untuk pejabat dan pengedaran peringkat akhir, taman perniagaan dan hartanah perindustrian dengan potensi kepada peningkatan pada masa depan.

“Sektor perindustrian terus positif, didorong oleh permintaan terhadap pergudangan dan pembuatan.

“Kami kini sedang berbincang dengan bakal penyewa mengenai pembangunan Pusat Pengedaran Axis Mega Fasa 2 dengan keluasan kira-kira 500,000 kaki persegi,” katanya kepada pemberita selepas taklimat mengenai keputusan tahun kewangan suku keempat berakhir 31 Dis, 2018 syarikat itu di sini hari ini.

Beliau berkata syarikat kini menyasarkan untuk menyelesaikan pengambilalihan kemudahan pembuatan dengan pegangan pajakan dan berkeluasan 90.17 kaki persegi di Bayan Lepas, Pulau Pinang pada suku kedua 2019.

Bagi tahun kewangan 2018, keuntungan bersih Axis REIT meningkat kepada RM154.98 juta daripada RM122.56 juta pada 2017, manakala perolehan naik kepada RM204.36 juta daripada RM168.75 juta sebelum ini.

Leong berkata prestasi lebih baik itu dipertingkatkan dengan suntikan projek pembangunan yang telah siap untuk Nestle Products Sdn Bhd di Pusat Pengedaran Axis Mega Fasa 1, selain pendapatan yang dijana daripada pengambilalihan baharu dan peningkatan dari segi kadar penghunian dalam portfolio.

“Sehingga 31 Dis, 2018, kadar penghunian portfolio Axis REIT naik tiga peratus kepada 94 peratus dengan tempoh tamat pajakan purata wajaran yang stabil lebih daripada lima tahun (berdasarkan sewa), manakala kadar pengekalan penyewa sebanyak 74 peratus.

“Portfolio kami pada 2018 turut meningkat daripada 40 kepada 45 hartanah, semua aset industri penyewa tunggal, dengan ruang di bawah pengurusan meningkat kepada 9.35 juta kaki persegi daripada 1.26 juta kaki persegi,” katanya.

— BERNAMA