Aya Amiruddin takkan sekali putihkan kulit, bangga dengan kacukan Melayu, Nigeria

Oleh KIM SYAZIE

Pelakon dan pempengaruh, Aya Amiruddin berbangga dengan warna kulitnya dan tidak akan sesekali memutihkan kulit wajahnya.

Pelakon berusia 26 tahun itu mengakui bangga dengan darah campuran yang dimilikinya iaitu Melayu Pulau Pinang di sebelah ibu dan Nigeria di sebelah bapa.

“Saya takkan sesekali putihkan kulit kerana bagi saya itulah keunikan saya. Orang lain tiada benda ini.

“Kalau kulit saya dah sama dengan orang lain, ia tiada beza. Cuma kalau nak kurus, kita tengoklah macam mana nanti,” katanya memetik Harian Metro.

Pada masa sama, Aya bersyukur apabila kehadirannya dalam industri hiburan diterima baik ramai pihak.

Biarpun ada ketika penampilan dan bentuk badannya dikecam, namun Aya lebih memilih untuk tidak memikirkan kata-kata mereka.

“Alhamdulillah… tak sangka orang boleh terbuka hati begini terima saya. Mula-mula dulu rasa tak yakin juga bolehkah orang terima saya? Tambahan pula kat Malaysia dah ada standard kecantikan untuk artis.

“Namun bercakap bab kecaman pula, memanglah tak lekang. Itu memang adat tapi tak adalah sampai yang saya tak boleh terima. Tiada yang melampau-lampau sangat.

“Body shaming (mempersenda penampilan fizikal seseorang) itu sentiasa ada tapi dari saya dari kecil memang dah biasa dan tahu nak kendalikan benda-benda begini. Jadi ia tidak beri kesan besar buat saya,” katanya seperti dipetik.

Menurutnya, setakat ini juga dia belum terfikir nak saman netizen yang mengecam atau mengkritiknya.

“Ia belum sampai peringkat itu. Rasanya semua orang ada pendapat masing-masing dan tak perlulah saya nak ambil tindakan.

“Tapi kalau melampau sangat sampai jadi ancaman kepada diri sendiri dan keluarga itu lainlah. Tapi kalau setakat cakap-cakap mulut nak kata saya gemuk, lantaklah. Banyak benda lagi saya nak fikir,” katanya.

Rezeki Aya terbuka luas apabila terpilih membintangi telefilem Pontianak 100kg arahan Shuhaimi Lua Abdullah yang disiarkan menerusi tonton Original terbitan MIG Production Sdn Bhd tahun lalu.

Menerusi sambutan hebat, ia kemudian diadaptasi ke filem dengan judul Pontianak 200kg terbitan bersama MIG Production Sdn Bhd dan Primeworks Studios Sdn Bhd.

Filem arahan Shuhaimi Lua ini turut menampilkan pelakon Ziana Zain, Ropie Cecupak, Syaiful dan Sharif Zero, Dottie, Wan Ahmad dan ramai lagi.

Baca juga: “Aku pilih suami kerana pegangan agamanya, tak sangka caci maki dah jadi zikirnya”