Malaysia Dateline

Ayam dalam ekonomi global

Kita makan ayam tempatan. Tapi ayam daging tempatan makan makanan import. Bukan ayam saja tapi lembu, kambing, babi, ikan dan semua haiwan ternakan dan haiwan kesayangan (kucing dan anjing) makan makanan import.

Makanan haiwan diperbuat daripada ramuan yang mengandungi bijirin seperti gandum, jagung dan sorgum, perahan kacang soya dan kanola serta sisa sembelihan. Antara 60-70 peratus adalah bijirin.

Makanan manusia dan haiwan di pasaran dunia naik dengan banyak sejak pandemik Covid-19 bermula akhir tahun 2019. Harga bijirin dunia naik pada kadar luar biasa tahun lalu kerana kebimbangan wabak Covid-19 akan menyebabkan pengeluran jatuh. Pada mulanya permintaan dan harga jatuh disebabkan “lockdown” dan kawalan pergerakan tetapi kebimbangan mengenai bekalan jangka panjang menyebabkan harga naik semula.

Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-bangsa Bersatu (FAO) walaupun indeks harga makanan dunia turun kepada 124.6 mata pada bulan Jun lalu daripada 127.8 mata pada bulan Mei tetapi masih 33.9 peratus lebih mahal daripada setahun lalu. Sebelum itu, selama 12 bulan berturut-turut harga makanan naik.

Harga beras di pasaran dunia naik pada kadar purata 25 peratus dalam jangka masa Mac hingga September 2020 dan terus tinggi iaitu purata 36 peratus pada bulan Mac tahun ini. Bila harga beras naik, harga dedak pun naik juga. Kenaikan harga lagi teruk bagi bijirin yang dikeluarkan oleh negara-negara bercuaca sederhana seperti Eropah, Amerika dan Australia.
Harga jagung melambung kira-kira 142% sejak setahun lalu iaitu kadar paling tinggi dalam tempoh lapan tahun.

Macam itu jugalah gandum yang mengalami kejatuhan pengeluran. Harga eksport antarabangsanya naik antara 21 peratus hingga 30 peratus sejak setahun lalu.

Kecelakaan kita adalah dasar pengeluaran makanan yang gagal. Kita terlalu bergantung dan mengutamakan pertanian industri iaitu kelapa sawit dan getah. Kita cakap saja tentang kecukupan dan jaminan bekalan makanan. Boleh kata semua Menteri Pertanian kita gagal.

Kalau kita mahu dan ada kira bicara, apabila harga makanan haiwan import mahal, kita tanamlah sendiri. Kita boleh ubah kegunaan tanah. Misalnya kurangkan sikit tananan padi untuk tanam jagung. Tapi rasanya Menteri kita malas nak fikir semua ini.

Kecelakaan kita berganda kerana mata wang kita pula lemah. Ikut cerita, tukang urut di Danok, Thailand pun tidak mahu terima ringgit lagi. Apabila kadar tukaran ringgit lemah, harga import segala jenis barang dan perkhidmatan naik.

Menteri Kewangan kita pun nampak lebih kurang macam Menteri Pertanian juga. Pada 17 September baru lalu, kita perlukan RM4.17 untuk membeli satu dolar Amerika berbanding RM3.95 pada 11 Mei 2018. Walaupun kadar tukaran ringgit bertambah kukuh, tapi kesan positif ke atas harga barang-barang import masih belum dirasai.

Natijahnya, oleh sebab ayam kita makan makanan import, harganya akan naik atau turun bergantung kepada harga makanan haiwan yang diimport dan kadar tukaran ringgit. Itu belum diambil kira kos buruh, ubat-ubatan, pengangkutan dan perbuatan mencari keuntungan berlebihan oleh peniaga. Jadi tugas Menteri-menteri yang terbabit dengan ayam ini sebebarnya mencabar cuma mungkin mereka tidak sedar.