Ayob Khan buat pendedahan mengejut, dakwa orang agama paling kuat buat rasuah

Oleh KIM SYAZIE

Rasuah ini sudah menjadi norma dalam kalangan manusia, tidak kira yang kuat agama mahupun yang pegangannya lemah.

Dalam dunia yang memerlukan duit ini, pastinya akan ada yang tidak mahu berputih mata dengan tawaran berupa wang walaupun ia adalah rasuah.

Watak orang yang sembahyang tidak tinggal dan bergelar ‘Haji’ hingga tergamak untuk memakan wang haram sudah biasa dilihat.

Namun tidak di mata polis seperti Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay. Kata Ketua Polis Johor itu, watak sebegitu sudah banyak dikesan.

Pengalaman luas dan lama di Cawangan Khas Bukit Aman mengajar Ayob untuk membaca manusia rata-rata dan tidak mudah terperdaya dengan lakonan mereka.

“Orang Malaysia kita ini ada kecenderungan bila nampak orang derma sahaja, (perbuatan) yang lain tertutup.

“Kita nampak seseorang itu pernah terlibat dengan itu dan ini tetapi ada gelaran, rumah besar, duit banyak sampai bertabur atas lantai.

“Takkan tak terdetik persoalan ‘dari mana dia dapat duit banyak begitu? Dia bisnes apa?” jelasnya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan ada antara orang yang kelihatan alim serta sering bersedekah dan menderma itu sekadar wayang semata-mata.

“Jika kita membuka mata untuk memerhati dan membaca setiap perincian yang dipamer dalam gerak tubuh dan tutur katanya.

“Kita akan ketahui siapa sebenarnya yang berselindung di sebalik topeng itu.

“Contohnya, duit rasuah pergi haji. Dia ambil rasuah banyak-banyak, RM3 ke RM4 juta setahun, dan tiap-tiap tahun dia pergi menunaikan haji. Lepas itu dia minta ampunlah.

“Balik, minta rasuah lagi. Tahun depan pergi haji lagi. Betul? Ada karakter macam itu, kan?” soalnya kembali.

Artikel ini adalah berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan Ayob pada 2021 sebelum bergelar Pengrah JSJ Bukit Aman mengenai kegiatan rasuah dibalik amal ibadah.

Baca juga: Ustaz sangkal dakwaan mak Neelofa tentang amalan baca bismillah 787 kali