Ayuh ke Padang Merbok, pemimpin Pas ini kena perli gara-gara isu tanggal baju dan tudung

Oleh ARIF ATAN

Sindiran dan perli orang ramai menghujani kenyataan pemimpin Pas, Nasrudin Hassan susulan kontroversi seorang wanita tanggal baju dan tudung.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) berkenaan dalam reaksinya berhubung aksi wanita dipanggil Amy itu berkata individu terlibat perlu kembali kepada Islam.

“Bertaubat dari apa yang telah ia lakukan. Menginsafi bahawa ia adalah satu kesalahan besar di dalam agama,” katanya.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat tersebut menegaskan bahawa perbuatan Siti Amira Natasya itu bukan sahaja mencabul harga diri tetapi juga meluruhkan nilai mulia pada agama yang dianuti serta mempalit rasa malu kepada seluruh umat Islam.

Walau bagaimanapun, rata-rata warganet dilihat menyindir bekas Ahli Parlimen Temerloh itu dengan mengaitkan antaranya Padang Merbok di ibu negara.

Aksi wanita Melayu di Kelab Komedi Crackhouse ini mengejutkan orang ramai.

Lokasi yang terletak kira-kira 2 km dari Bangunan Parlimen itu sinonim dengan Pas ekoran penganjuran Himpunan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) pada 2017.

“Ayuh ke Padang Merbok,” usik netizen mengimbas semula sikap Pas yang lantang dalam isu berkaitan Islam ketika bergelar pembangkang.

Sementara itu, pengguna Facebook Chad Syazwan menulis, “Din, mereka semakin briani (berani) Din” manakala Nizam Toha secara sinis bertanyakan, “Siku lutut dah tak guna?”

Untuk rekod, ungkatan siku dan lutut tersebut merujuk pada kenyataan Nasrudin pada Muktamar Pas ke-61 pada 2015 yang mencabar DAP berlawan dengan dua anggota tubuh itu.

Nasrudin yang ketika itu Ketua Penerangan Pas antara lain mengingatkan DAP bahawa walaupun dari Dewan Ulama yang rata-ratanya memakai kopiah, serban, berjubah, tetapi dalam jubah itu ada siku dan lutut yang masih belum Pas guna lagi.

Amaran Nasrudin itu kemudiannya mendapat tepukan gemuruh daripada peserta muktamar.

Kenyataan terbaharu Nasrudin berhubung isu wanita berumur 26 tahun yang menanggalkan pakaian itu juga dibalas dengan ‘mengheret’ nama bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa.

“Mana Mujahid?!” perli Nur Hadi Mohamad ‘mengimbas’ gelombang amarah penyokong Pas atau digelar netizen sebagai walaun yang dilihat begitu garang semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Ungkapan senada itu juga ditulis Azlannor Fadzilah apabila berkata, “Pecat Menteri Agama! Laungan dulu-dulu yang tidak kedengaran lagi.”

Baca juga Wanita disyaki hina Islam direman hingga esok

Baca juga Lelaki basuh perut lembu guna mesin basuh, jimat masa