Malaysia Dateline

Ayuh Malaysia wajar disertai seluruh rakyat yang patriotik, cintakan negara

Kempen Ayuh Malaysia yang digerakan Rafizi Ramli, Nurul Izzah dan pimpinan muda Pakatan Harapan yang lain wajar disertai seluruh rakyat yang petriotik dan cintakan negara ini.

Meskipun diakui masa agak suntuk dan sumber juga agak terhad, gerakan ini sekurang-kurangnya membawa satu suntikan baharu kepada rakyat Malaysia untuk menilai secara objektif dalam memilih kepimpinan negara untuk Pilihan Raya Umum ke-15.

Ayuh Malaysia wajar disertai seluruh rakyat yang patriotik, cintakan negara
Razak Ridzuan

Dalam menjayakan usaha ini, Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional Razak Ridzuan menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia yang cintakan negara dan mempunyai kesedaran membentuk semula sistem yang telah korup selama ini agar turut serta dan memberi sokongan sepenuhnya.

Gerakan Ayuh Malaysia ini katanya wajar diangkat sebagai platform yang memberi pencerahan kepada rakyat bahawa kuasa undi yang ada pada mereka mampu mewujudkan gelombang dan arah baru buat Malaysia.

“Justeru, ayuh semua kita mengambil langkah awal menyatakan sokongan dan menjadi agen kepada gerakan ini.

“Ayuh sebarkan maklumat yang disediakan, daftar sebagai sukarelawan menerusi aplikasi CISTA dan beri sumbangan dana kepada Ayuh Malaysia semampunya,” katanya.

Kempen anjuran Rafizi dilancarkan bagi menarik sokongan pengundi atas pagar ke arah menghadapi PRU15 dan pelbagai isu dikupas dalam sesi tiga jam itu antaranya berkaitan perumahan rakyat, isu pertanian dan pendidikan.

Mereka juga berikrar untuk membawa isu-isu rakyat menerusi aplikasi CISTA yang dibangunkan bagi membolehkan setiap rakyat Malaysia menjadi sukarelawan untuk berkhidmat membawa mesej perubahan ke arah Malaysia yang lebih baik.

Kempen itu dibuat selepas mengambil kira keputusan pilihan raya negeri (PRN) Johor dan pandangan pelbagai pihak di dalam PKR.

Ayuh Malaysia mempunyai matlamat mengajak sukarelawan dalam kalangan rakyat yang mahu meneruskan momentum perubahan untuk turut serta mendekati pengundi-pengundi atas pagar dengan memainkan peranan di dalam kempen digital, menjadi Ejen Kira Undi (PACA) dan sukarelawan pilihan raya.