Pelakon Zarina Zainuddin kembali menyita perhatian selepas membuat pendedahan mengenai Azal Azrai iaitu anak lelakinya yang mengalami autisme.
Ibu yang berusia 53 tahun itu mendedahkan bahawa anaknya, Azal kini sedang berkawan rapat dengan seorang gadis asal Indonesia dikenali sebagai Rahmah.
Berdoa agar anaknya bertemu jodoh, Zarina memaklumkan bahawa Azal berkenalan dengan Rahmah ketika sama-sama terlibat dalam festival jualan di Singapura.
Walaupun telah bersua muka sejak awal tahun lepas, Azal dan gadis Indonesia berusia 26 tahun itu bagaimanapun hanya mula rapat sejak bulan lalu, lapor Mstar.
Tidak meletakkan harapan tinggi agar hubungan anaknya berakhir ke jinjang pelamin, Zarina hanya mampu berdoa yang terbaik buat Azal sebagai seorang ibu.
“Sudah banyak kali berjumpa. Sekarang masih dalam proses berkenalan. Hubungan mereka masih baru lagi. Mereka sering berjumpa di Singapura kerana Rahmah bekerja di sana.
“Soal jodoh itu urusan Allah. Saya tidak meletakkan harapan tinggi. Kalau ada jodoh saya terima dengan baik. Azal juga ada perasaan.
“Saya mahu seorang yang boleh menjaga dia nanti. Apabila tengok Rahmah saya pun suka sebab dia seorang pendiam, rajin, cekap bekerja serta pandai bawa diri,” katanya memetik Mstar.
Menurut pelakon drama Teduhan Kasih itu, Rahmah juga dapat menerima keadaan Azal yang merupakan pemuda kelainan upaya (OKU) autisme dengan sangat baik.
Zarina sempat berkongsi bahawa anak lelakinya yang berusia 27 tahun itu pada mulanya sukar untuk menerima Rahmah kerana dia wanita bertudung.
“Pada awalnya memang Azal tak suka Rahmah sebab dia bertudung. Namun saya terangkan kepada Azal carilah wanita yang pandai menjaga agama dan kemudian dia faham.
“Rahmah tahu keadaan Azal dan boleh menerima dengan baik. Azal pun boleh berdikari jika berniaga di sana. Azal ada kerja dan wang simpanan sendiri. Jadi tiada masalah untuk berkahwin.” Jelasnya.
Azal sebelum ini menjadi topik perbincangan hangat selepas Zarina berkongsi gambar anaknya dan Rahmah berserta kapsyen mendoakan agar pasangan itu bertemu jodoh.