Datuk Seri Azalina Othman berhasrat menghantar notis usul bagi membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pemecatan Ahli Parlimen 2021 bagi tujuan memperkenalkan ‘pilihan raya pecat’ atau recall election.
Bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu bercadang menghantar notis usul berkenaan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat mengikut Peraturan Mesyuarat 49(1) untuk RUU Ahli Yang Bukan Ahli Kerajaan untuk dibentangkan pada persidangan Parlimen yang akan bermula 13 September ini.
“Saya berharap usul ini menjadi titik permulaan untuk memperkenalkan pilihan raya pecat melalui sidang Parlimen, September ini.
“Saya berbesar hati dengan perbincangan di antara kerajaan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan blok pembangkang dan blok Bebas untuk memperkenalkan undang-undang mencegah lompat parti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pengerang itu berkata, beliau menyarankan bentuk terbaik untuk undang-undang mencegah lompat parti dengan memperkenalkan Akta Pemecatan Ahli Parlimen.
Beliau menegaskan menerusi akta baharu itu nanti, jelasnya, pengundi boleh menarik semula mandat diberi kepada Ahli Parlimen yang membelakangi mereka dan hak untuk memilih wakil rakyat baharu atau mengekalkan penyandang dikembalikan kepada pengundi.
“Setelah 64 tahun kita meraikan kemerdekaan, kini terdapat gejala berleluasa di mana wakil rakyat membelakangi bukan sahaja parti politik yang memberi watikah pelantikan mereka, tetapi juga masyarakat akar umbi yang bersusah payah meraih undi dari pintu ke pintu.
“Lebih-lebih lagi rakyat yang mengundi wakil rakyat berkenaan atas kepercayaan perwakilan mereka sebagai wakil parti politik dan manifesto dijanjikan,” katanya.
Dalam masa sama, Azalina mengingatkan pemimpin generasinya perlu menerima persaingan antara parti politik sebagai sesuatu yang positif dan menguntungkan rakyat.
“Jika persaingan ini berdasarkan peraturan permainan yang munasabah dan bukan dicetuskan daripada perpecahan parti politik yang memudaratkan, persaingan politik perlu dimurnikan dan bukannya dihapuskan, ditekan, diisi dengan kebencian atau dihuru-harakan.
“Demi kemajuan negara, pemimpin politik generasi saya dan generasi lebih muda mesti berani bermuafakat serta berpakat untuk menjadikan politik itu pilihan kerjaya yang profesional, yang dihormati dan disegani, bukan dikeji atau dicaci.
“Tanggapan rakyat terhadap ahli politik hari ini sangat memalukan dan secara peribadi saya terkilan dengan keadaan ini,” katanya lagi.
Sebelum ini, Azalina menggesa kerajaan mempertimbangkan pilihan raya bagi memecat wakil rakyat bagi menghalang mereka yang lompat parti.
Sejak 29 Ogos lalu, beliau membangkitkan mengenai Akta Mencegah Lompat Parti dengan sembilan persoalan termasuk tiga jenis bentuk lompat parti.
“Ibaratkan lompat katak yang sentiasa lompat tidak kira masa dan tempat, lompat parti wakil rakyat menjadikan politik kucar kacir dan kepentingan rakyat diabaikan,” tegasnya lagi.