Azalina Said dilantik ketuai ‘task force’ jenayah seksual kanak-kanak

Azalina Said dilantik ketuai ‘task force’ jenayah seksual kanak-kanak

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said menyambut baik pelantikannya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Bertindak berkaitan jenayah seksual kanak-kanak.

Beliau berkata pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai penubuhan sebuah pasukan petugas itu menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan isu berkaitan wanita dan kanak-kanak dapat ditangani dengan baik.

“Ini terbukti bahawa kerajaan sentiasa prihatin dan mendengar serta mengambil maklum pandangan daripada pelbagai pihak berkepentingan seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO), khasnya berkaitan wanita dan kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Azalina berkata mesyuarat pertama jawatankuasa itu yang bakal dianggotai wakil Pejabat Peguam Negara dan wakil Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan diadakan dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, jawatankuasa itu antaranya akan turut dianggotai kalangan anggota Parlimen, Majlis Peguam Malaysia, Persatuan Peguam Syarie Malaysia, ahli-ahli akademik, NGO wanita serta anggota lain yang sesuai mengikut kepakaran dan kelayakan mengenai perkara berkenaan.

Semalam, Najib semasa sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2016 mengumumkan penubuhan sebuah pasukan petugas dengan kadar segera bagi mengkaji dan meneliti isu-isu berkaitan jenayah seks, terutamanya jenayah rogol yang membabitkan kanak-kanak.

COMMENTS

Wordpress (0)