Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki memberi amaran bahawa ahli politik kerajaan tidak akan terlepas dari siasatan sekiranya disyaki melakukan salah laku dan salah guna kuasa.
Suruhanjaya berkenaan tidak akan membuat pendakwaan terpilih dalam siasatan, termasuk berkaitan kes Kertas Pandora, kata Azam seperti dilapor Berita Harian semalam.
Beliau menjelaskan, SPRM memberi tumpuan kepada individu terdedah politik yang mempunyai kuasa dan kedudukan ketika mereka didakwa melakukan salah laku dan disyaki menyalahgunakan kuasa.
“SPRM bebas untuk menjalankan siasatan termasuk ke atas individu yang dirasakan mempunyai kedudukan dan kuasa serta disyaki melakukan penyelewengan dan salah guna kuasa. Tak kira siapa pun, kita akan siasat.
“Dalam konteks ini (Kertas Pandora), SPRM tidak mengamalkan pendakwaan terpilih. Kami bebas menyiasat tanpa sebarang gangguan atau pengaruh pihak lain,” katanya ketika dihubungi BH.
Beliau menjawab dakwaan Pengerusi Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4), Edmund Terence Gomez bahawa pemimpin dari blok kerajaan tidak dipanggil oleh SPRM walaupun dinamakan dalam dokumen Kertas Pandora yang bocor itu.
Media sebelum ini melaporkan siasatan SPRM terhadap Kertas Pandora adalah pada Februari lalu, membabitkan seorang bekas menteri yang tidak dinamakan, dipanggil memberi keterangan mengenai kekayaan luar pesisirnya.
Laporan portal berita yang memetik sumber, mendakwa anak bekas Perdana Menteri juga telah dipanggil untuk disoal siasat.
Azam berkata, SPRM tetap kekal dengan bidang kuasanya iaitu membuka siasatan terhadap kes rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
Bagaimanapun, katanya, suruhanjaya itu tidak boleh sewenang-wenangnya membuka kertas siasatan, sebaliknya mesti berdasarkan fakta dan bukti mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan undang-undang yang diperuntukkan.
“Sekiranya terdapat nama ahli perniagaan dalam siasatan Kertas Pandora, tapi dia mungkin tidak mempunyai kuasa dan kedudukan untuk menyalahgunakannya, kemungkinan ia bukanlah sesuatu di bawah bidang kuasa SPRM.
“Sebaliknya siasatan itu mungkin berkaitan kes mengelak membayar cukai dengan bidang kuasa siasatan adalah di bawah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),” katanya.
Beliau berkata, dalam siasatan Kertas Pandora, SPRM bukanlah satu-satunya agensi yang melakukan siasatan, sebaliknya turut membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), LHDN dan Pusat Kewangan Jenayah Nasional (NFCC).
Kertas Pandora adalah kebocoran dokumen yang mendedahkan ratusan pemimpin dunia, ahli politik, hartawan, selebriti, pemimpin agama dan pengedar dadah dilapor menyembunyikan wang serta pelaburan mereka dalam hartanah, kapal persiaran dan aset lain sepanjang 25 tahun lalu.
Mereka dilapor mengambil langkah terbabit, antara lain bertujuan mengelak membayar cukai.
Laporan itu juga didedahkan menerusi hampir 12 juta fail yang dimiliki 14 firma kewangan di serata dunia.
Baca juga: Selepas dua tahun Sajat buat pengakuan masih lagi beragama Islam