Malaysia Dateline

Azam Baki dakwa agensi kerajaan paling banyak terbabit dalam kes rasuah

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki mendakwa penjawat awam antara kumpulan terbesar yang terlibat dalam kes rasuah membabitkan penyelewengan perolehan kerajaan.

Beliau berkata, ketirisan berlaku kebiasaannya melibatkan pemegang tertinggi dalam agensi kerajaan yang memutuskan sesuatu perkara, lapor Bernama.

Tanpa mendedahkan statistik berkenaan, beliau berkata hampir 50 peratus kes ketirisan perolehan kerajaan berlaku melibatkan agensi-agensi kerajaan.

“Saya boleh katakan ketirisan pada analisa SPRM banyak berlaku di sektor awam, dengan mereka (pihak pimpinan tertinggi agensi kerajaan) yang berkuasa dalam memutuskan sesuatu perkara itu (perolehan kerajaan) terlibat penyelewengan dan salah guna kuasa.

“Apabila berlakunya ketirisan perolehan kerajaan, siasatan kami menunjukkan terdapatnya elemen rasuah yang menyebabkan sesuatu nilai perolehan kerajaan turut naik,” katanya kepada Bernama dalam temu bual sempena Ulang Tahun SPRM ke-53, hari ini.

Pada masa sama Azam berkata, jika sesuatu perolehan kerajaan bernilai RM1 juta maka nilai rasuah juga akan naik berbanding nilai asas.

Namun katanya, bukan sahaja nilai rasuah meningkat, bahkan projek yang dilaksanakan juga tidak berkualiti.

Menjelaskan perkara itu, Azam memberi contoh kes terbaharu melibatkan projek naik taraf jalan di Sarawak yang telah dikurangkan kualiti pembuatannya sehingga mengakibatkan kerosakan jalan dalam tempoh singkat dan menyebabkan kerugian jutaan ringgit kepada kerajaan

Sebelum ini, media melaporkan dua pengarah syarikat berpangkat Datuk disyaki terlibat rasuah dan mengemukakan tuntutan palsu bernilai puluhan juta ringgit berhubung pelaksanaan 10 projek menaik taraf jalan di Sarawak bernilai RM800 juta.

Ditanya sama ada sektor swasta turut berlaku ketirisan, Azam berkata pihaknya ada menerima aduan kes melibatkan sektor swasta, namun jumlahnya tidak membimbangkan seperti dalam sektor awam.

“Hasrat SPRM adalah untuk menyiasat kedua-dua pihak ini (sektor awam dan swasta) jika terlibat ketirisan perolehan kerajaan, kami akan bawa ke mahkamah untuk pendakwaan,” katanya seperti dipetik Bernama.