Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Datuk Seri Azam Baki harus dipertanggungjawabkan dan digantung tugas sepanjang siasatan dakwaan berlaku kecurian barang kes membabitkan wang tunai AS$6 juta (RM25 juta) milik seorang individu yang pernah disiasat SPRM.
Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata, penyiasatan kes itu juga mesti diambil alih serta-merta oleh satu pasukan khas PDRM agar siasatan telus dan menyeluruh.
“Harapkan pagar, pagar makan padi! Inilah perumpamaan yang tepat buat kes terbaharu melibatkan kecurian barang kes wang tunai AS$6 juta oleh pegawai dalaman SPRM sendiri.
“Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki harus dipertanggungjawabkan dan digantung tugas sepanjang siasatan berjalan,” katanya dalam satu kenyataan.
Untuk rekod, Azam dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM berkuat kuasa mulai 9 Mac 2020 menggantikan Latheefa Beebi Koya yang sebelum itu memohon untuk meletakkan jawatan.
Terdahulu, tular satu laporan di sebuah blog tempatan mendakwa tiga pegawai kanan SPRM direman enam hari bermula 14 September lalu bagi membantu siasatan berhubung kecurian wang tunai milik seorang individu yang disiasat kerana menyalah gunakan kuasa dan penyelewengan dana pada 2018.
Wang tunai itu didakwa dirampas oleh SPRM di sebuah kondominium di Cyberjaya manakala individu terbabit dikatakan sudah dilepas tanpa bebas oleh mahkamah.
Individu tersebut turut dilapor mahu menuntut semula wang tunai yang dirampas itu namun ia hanya tinggal sebahagian dengan selebihnya adalah wang palsu.
Penulis blog itu mendakwa individu terbabit membuat satu laporan polis tetapi dakwanya polis tidak berani menjalankan siasatan, sebaliknya membiarkan SPRM menjalankan siasatan dalaman.
Dia juga mendakwa, tiga pegawai kanan itu direman selama enam hari namun kes itu ‘disenyapkan’ oleh pihak SPRM.
Mengulas lanjut, Hussamuddin yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd berkata kerajaan perlu secepat mungkin melaksanakan reformasi struktur dalam usaha mengekang jenayah rasuah.
“Wujudnya kes-kes sebegini menjadikan tuntutan Rasuah Busters dan gabungan kami untuk membuat reformasi struktur di mana SPRM dan Peguam Negara dibebaskan daripada kuasa politik dan diletakkan di bawah Parlimen, perlu dilaksanakan dengan segera.
“Kami juga mahu Ahli-Ahli Parlimen dan kerajaan meluluskan segera enam tuntutan Politik #MalaysiaTanpaRasuah yang kami diumumkan pada 11 September lalu,” katanya lagi.
Dalam hal berkaitan, polis memaklumkan tiada menerima sebarang laporan daripada mana-mana pihak berhubung dakwaan terbabit.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Abd Jalil Hassan dalam satu kenyataan semalam berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan bahawa tiada sebarang laporan polis diterima berhubung kejadian tersebut.
“Kita nasihatkan orang ramai supaya menjadi pengguna media sosial dan bertanggungjawab serta tidak menyebarkan berita tidak benar,” katanya.
Menurut Abd Jalil lagi, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati sengaja menyalah guna media sosial untuk menyebarkan berita palsu.