Malaysia Dateline

Azam Baki tak bertanggungjawab, cuba heret Agong dalam masalah- PH

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki tiada pilihan lain selain perlu bercuti dari tugasnya selepas beliau didakwa secara tidak bertanggungjawab cuba mengheret institusi Agong ke dalam masalah berkait dengan dirinya.

Ini susulan kenyataan Azam pada 12 Januari lalu yang enggan akur dengan desakan mana-mana pihak untuk melepaskan jawatan kerana dakwa beliau, hanya Yang di-Pertuan Agong sahaja boleh menamatkan perkhidmatannya.

Justeru, Setiausaha Majlis Presiden Pakatan Harapan menegaskan bahawa Azam sepatutnya tahu lantikan baginda Agong tidak memberikan sebarang kekebalan undang-undang daripada kesalahan yang dilakukan.

“Oleh itu, Majlis Setiausaha berpandangan Azam kini tiada pilihan lagi kecuali untuk bercuti sehingga selesai kesemua siasatan terhadap beliau.

“Sekiranya beliau enggan, kami menggesa perdana menteri agar mendengar pandangan kesemua pihak yang telah menyuarakan pandangan tentang isu ini, termasuk dari kalangan pemimpin kerajaan, dan mengambil tindakan tegas merehatkan Azam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut dibuat bersama PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution; AMANAH, Datuk Dr Hatta Ramli; DAP, Anthony Loke; dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Nelson Anggang.

PH turut mengingatkan bahawa isu utama membabitkan tatakelola dan urustadbir SPRM, dan siasatan penuh wajar dilakukan bukan sahaja terhadap Azam tetapi semua Ketua Pesuruhjaya yang pernah berkhidmat sebelum ini.

Pada masa sama, PH menegaskan bahawa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu berhenti dari melindungi atau membela Azam secara langsung atau tidak.

“Kerana Azam berkemungkinan telah bertukar dari penguatkuasa undang-undang anti-rasuah kepada seorang pelanggar undang-undang.

“Kami juga menerima baik gesaan pelbagai pihak agar reformasi dan rombakan menyeluruh dibuat terhadap SPRM bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap institusi penting ini, termasuk dengan meletakkan SPRM di bawah Parlimen,” katanya lagi.