Azam Nik Abduh jadikan perlawanan PRK serentak hanya olok-olok

Azam Nik Abduh jadikan perlawanan PRK serentak hanya olok-olok

Parti Tindakan Demokratik (DAP) menyifatkan kenyataan Nik Abduh; “Memang PAS ditubuhkan untuk menyatukan ummah. Bukan hanya niat, dia (ada) niat, azam, ada belaka,” yang merujuk persoalan penyatuan Pas-Umno memperlihatkan perlawanan antara Pas-Umno di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, hanyalah ibarat ‘olok-olok’ sahaja.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor Saudara Sheikh Omar Ali, dalam satu kenyataan berkata jika rakyat mengundi PAS, hakikatnya parti itu sedang berusaha menjalin hubungan rapat dengan UMNO.

“Maka, apa ertinya mengundi PAS dalam 2 PRK ini?,” soal beliau.

Menurut beliau tidak ada lagi garis yang jelas memisahkan perjuangan Pas dan Umno yang boleh menjadi asas kukuh mengapa rakyat perlu mengundi Pas berbanding Umno.

“Justeru, saya menyeru agar rakyat di Sungai Besar dan Kuala Kangsar memberikan undi kepada calon-calon Pakatan Harapan dari Parti Amanah Negara yang jelas ingin memperjuangkan nasib rakyat dari terus dibelenggu polisi-polisi tempang dan sarat dengan rasuah dibawah Umno-BN,” katanya.

Beliau menyifatkan kenyataan dikeluarkan Ahli Parlimen Pasir Mas merangkap Ketua Pemuda PAS, Nik Abduh amat menyimpang dari semangat perjuangan politik Pas yang pernah dibawa oleh ayahnya sendiri Almarhum Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat.

Pas pimpinan Almarhum katanya, amat menekankan ruh kesejagatan Islam.

“Ia cenderung ke arah membawa rakyat kepada ruh perjuangan Islam yang meraikan kepelbagaian yang tidak dibatasi perbezaan warna kulit,” katanya.

Sebaliknya kata beliau, kenyataan Nik Abduh (rujuk http://m.malaysiakini.com/news/344921) hanyalah menggambarkan PAS yang kini hilang arah bahkan melangkah kebelakang sehingga terpaksa menjalinkan hubungan intim dengan Umno untuk lebih memahami parti berteraskan Mrlayu tersebut.

“PAS kini jelas hilang jati diri, seolah-olah meraba-raba mencari arah,” katanya.

Memetik kenyataan Nik Abduh; “PAS cuba faham elok-elok UMNO, NGO, kalau mereka tumpu di atas jalan ini (agama), akan sampai satu masa kita boleh bersatu,” juga pada beliau hanyalah membawa parti tersebut kepada Islam berteraskan perkauman, bukan atas semangat Islam yang rahmah, yang dahulunya cukup popular dengan jolokan ‘PAS for all’.

“Dalam konteks dua pilihan raya kecil yang sedang berlangsung, saya berpandangan PAS seakan-akan cuba mempersendakan rakyat.

“Patutlah semasa berkempen di Sungai Besar, saya tidak jumpa masyarakat bukan Muslim memegang bendera Pas apatah lagi berkempen untuk Pas sepertimana suasana yang pernah dialami sewaktu Almarhum Tuan Guru Nik Aziz masih hidup,” katanya.

Waktu itu katanya, Pas untuk semua, tapi kini Pas seperti untuk Melayu sahaja.

COMMENTS

Wordpress (0)