Malaysia Dateline

Azeez dituduh terima Vellfire, wang hasil aktiviti haram hampir RM14 juta

Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berdepan satu lagi pertuduhan tambahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Aktiviti Keganasan (Amla) 2001.

Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) berkenaan sebelum ini berdepan sembilan pertuduhan di bawah Amla 2001 kerana didakwa menerima hasil haram daripada Syarikat Menuju Asas Sdn Bhd.

Dalam prosiding di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, Azeez dituduh menerima sebuah kereta berjenama Toyota Vellfire bernilai lebih RM400,000 daripada syarikat tersebut.

Terdahulu pihak pendakwaan memohon untuk melakukan pindaan sembilan pertuduhan terhadap Azeez. Pihak peguam bela tidak membantah permohonan pindaan tersebut.

Namun, wakil rakyat Umno itu mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi ke atasnya dan memohon agar dibicarakan.

Mengikut10 pertuduhan itu, Azeez didakwa menerima wang hasil daripada aktiviti haram hampir RM14 juta.