Azeez nafi RM22juta duit YTH diguna untuk tujuan politik

Azeez nafi RM22juta duit YTH diguna untuk tujuan politik

Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Rahim menjelaskan jumlah keseluruhan RM22 juta didakwa diselewengnya daripada Yayasan Tabung Haji (YTH) untuk tujuan politik sebenarnya diagihkan melalui program Ziarah Kasih, Jom Bantu Rakyat dan Ziarah Kasih Ramadan selama setahun membantu golongan memerlukan.

Tambahnya, keseluruhan RM22 juta itu telah dimasukkan dalam Yayasan Tabung Haji seterusnya diagihkan kepada lebih 60 Parlimen dan seramai 100,000 orang menerima sumbangan daripada tiga program membantu rakyat memerlukan tahun lalu.

“Saya ingin menegaskan bahawa bukan duit Tabung Haji khususnya bukan duit penabung, pendeposit, makcik-makcik, pakcik-pakcik yang simpan dalam Tabung Haji dikeluarkan.

“Tak boleh, kita tak boleh keluarkan wang sesiapa mereka kena datang, tuan punya badan kena datang untuk letakkan cop jari untuk keluarkan duit,” katanya ketika sidang media di lobi Parlimen, hari ini lapor Sinaronline.

Katanya, RM22 juta itu adalah hasil daripada pelaburan perniagaan Tabung Haji berjumlah RM7 juta manakala selebihnya adalah sumbangan daripada Umno, Kerajaan Persekutuan dan syarikat-syarikat yang tidak mempunyai perniagaan dengan Tabung Haji.

Dalam pada itu Abdul Azeez turut menegaskan, Tabung Haji sepatutnya membuat siasatan dalaman dengan memanggil beliau selaku bekas Pengerusi terlebih dahulu berhubung penggunaan dana sebanyak RM22 juta bagi menjalankan pelbagai program untuk golongan asnaf pada tahun lalu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Baling berkata, langkah itu perlu dilakukan kerana ia merupakan prosedur operasi standard (SOP) Tabung Haji yang selama ini diguna pakai.

“Saya terkejut bila SOP tidak diguna pakai walaupun saya bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji adalah lebih baik memanggil saya untuk memberi keterangan terlebih dahulu.

“Kita ada siasatan dalaman yang membolehkan Tabung Haji tanya saya dulu, duit ini datang dari mana dan bagaimana ia diagihkan,” jelasnya.

Jelas Abdul Azeez, beliau bersedia untuk memberi kerjasama kepada polis untuk memberi keterangan penuh berhubung laporan polis yang dilihat berniat jahat terhadapnya.

Jumaat lalu, Tabung Haji membuat dua laporan polis berkenaan penyelewengan dana berjumlah RM22 juta dan penjualan 95 peratus pegangan milik anak syarikatnya melibatkan jumlah RM3.8 bilion.

Walau bagaimanapun semalam, Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Seri Zukri Samat memberi jaminan kepada semua pendeposit bahawa simpanan mereka selamat.