Malaysia Dateline

Azeez Rahim, abang mengaku tidak bersalah tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram

Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah dan 9 pertuduhan pengubahan wang haram hampir RM140 juta, sejak 2010.

Abdul Azeez, 53, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa secara berasingan di hadapan Hakim Azura Alwi dan Rozina Ayob.

Ahli Majlis Tertinggi Umno itu didakwa atas tiga tuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta daripada Pengarah Syarikat Menuju Asas Sdn Bhd, Mohammad Redzuan Mohanan Abdullah, sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan projek-projek pembinaan jalan raya di Perak dan Kedah antara 8 Disember 2010 dan 10 April 2018.

Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada 5 kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mengikut mana lebih tinggi.

Beliau juga didakwa atas 9 pertuduhan melakukan pengubahan wang haram dengan menerima wang berjumlah hampir RM140 juta daripada empat syarikat di sekitar Lembah Klang di sini antara tahun 2010 dan 2018.

Kesemua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda.

Sementara itu, Datuk Abdul Latif, 61, yang merupakan abang kepada bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji itu turut mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan bersubahat dengan Abdul Azeez menerima rasuah berjumlah RM4 juta bagi beberapa projek pembinaan lebuh raya dan naik taraf jalan raya.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dan dibaca bersama seksyen 16(a)(A) dan seksyen 24(1) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.

Pada prosiding itu pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos, M. Athimulan dan Hisyam Teh Poh Teik.

Mahkamah membenarkan Abdul Azeez diikat jamin RM800,000 manakala Abdul Latif dibenarkan jaminan RM500,000 masing-masing dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Hakim menetapkan 27 Mac ini untuk sebutan semula kes.