Malaysia Dateline

Azhar antara pihak awal maklum kes pegawai kanan ATM

Bekas Setiausaha Politik kepada Menteri Pertahanan, Azhar Mat Dali adalah antara pihak yang awal memberikan makluman sehingga seorang pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ditahan berkaitan dengan dakwaan rasuah.

“Makluman awal mengatakan bahawa beliau sendiri antara pihak yang menyalurkan maklumat awal kes tersebut kepada SPRM,” kata bekas rakan sekerja beliau kepada Malaysia Dateline.

Menurut rakan rapat beliau itu, Azhar dipanggil SPRM pada Selasa (7 Julai) lepas untuk membantu siasatan kes seorang pegawai kanan ATM yang ditahan SPRM beberapa hari yang lalu.

Media melaporkan, seorang pegawai tinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ditahan untuk siasatan berkaitan kes rasuah membabitkan projek tertentu.

Sumber berkata, pegawai berkenaan disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berikutan dikatakan menerima rasuah RM500,000.

Azhar hadir bersendirian ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya dan memberi kerjasama penuh sejak pukul 9 pagi sehingga 5 petang selasa 7 Julai 2020 itu.

“Selesai memberi keterangan, SPRM memaklumkan beliau pula yang ditahan,” kata rakan beliau itu bagi menceritakan apa yang berlaku kepada Azhar.

Pengeledahan SPRM di rumah beliau sekitar pukul 1 hingga 4 pagi semalam (Rabu) hanya menemui RM4000 wang tunai dan tiada sebarang wang atau dukumen ditemui dan dirampas termasuk di pejabat beliau di Wisma Amanah Nasional.

Rakan beliau itu juga mempertikan tindakan SPRM yang memohon tahanan reman selama 7 hari atas alasan bimbang beliau akan mengganggu saksi-saksi kes.

“Bagi saya alasan ini tidak masuk akal dan sangat tidak profesional kerana beliau tidak lagi berkhidmat di Mindef sejak 4 bulan lalu dan tiada sebarang akses untuk masuk atau mempengaruhi Kementerian Pertahanan,” kata beliau.

Beliau juga kesal apabila maklumat siasatan itu dibocorkan oleh SPRM kepada pihak media dan ditokok tambah jumlah wang yang dirampas dalam angka yang tidak benar.

“Pendedahan bahawa beliau dituduh menerima rasuah terhadap kelulusan projek bernilai RM56 juta juga adalah tidak benar kerana sehingga ke hari ini pihak SPRM tidak mengemukakan sebarang pertuduhan terhadap beliau,” katanya.

Media melaporkan penahanan Azhar tersebut bagi membantu siasatan berhubung penerimaan wang rasuah bagi membolehkan sebuah syarikat memperolehi satu projek secara runding terus bernilai RM56 juta di Kementerian Pertahanan semasa beliau bertugas sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Pertahanan sebelum ini.

Jelas sumber, kes ini adalah kes terbaru dan tiada kena mengena dengan isu bankrupsi dan pembayaran hutang yang disiasat pada tahun 2018 lalu, lapor media itu lagi.

Serbuan ke Ibu Pejabat AMANAH di awal pagi semalam juga tanpa sebarang waran penggeledahan dan ia tindakan yang sangat tidak wajar.

Perkara ini telah dibantah secara rasmi oleh AMANAH dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agungnya Datuk Wira Dr Hatta Ramli.

Sebelum ini, Setiausaha Politik Menteri Pertanian, Ahmad Sabki Yusof juga ditahan oleh SPRM dan dikenakan reman selama empat hari yang dipercayai ekoran laporan dari pihak yang tidak senang dengan kerja beliau di kementerian itu.

Sabki telah dibebaskan ‘tanpa tindakan lanjut’ selepas siasatan dibuat oleh SPRM.

Baru-baru ini pula, ramai aktivis Armada Bersatu yang menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad disiasat oleh SPRM. Namun sehingga kini belum ada sebarang dakwaan dibuat.