Azhar dituntut perjelas ketiadaan usul undi percaya, pemilihan Speaker Dewan Rakyat

Oleh ARIF ATAN

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dituntut menjelaskan mengapa tiada usul berkaitan undi percaya dan pemilihan Speaker yang baharu dalam Aturan Urusan Parlimen.

Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng berkata, ketiadaan dua perkara penting itu pada sidang Parlimen bersidang mulai 13 September ini satu lagi bukti kegagalan Azhar menjunjung semangat Perlembagaan.

“Sekali lagi Azhar gagal menunaikan tugas perlembagaannya untuk menegakkan ketinggian, kesucian dan kedaulatan Parlimen serta mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

“Bahkan Yang di-Pertuan Agong, ketika dihadap oleh semua ketua parti politik di Istana Negara pada 17 Ogos, yang turut dihadiri oleh Speaker sendiri dan abangnya Peguam Negara, telah bertitah bahawa usul undi percaya di Parlimen mesti diadakan setelah Perdana Menteri yang baru dilantik.

“Malangnya, Peguam Negara telah memilih untuk secara terang-terangan derhaka dan melanggar titah Agong dengan menyatakan secara terbuka dalam kenyataan awam yang dikeluarkan sendiri bahawa tidak perlu undi percaya kerana ia akan menidakkan kuasa Agong untuk melantik Perdana Menteri,” tegas Guan Eng menerusi kenyataan medianya hari ini.

Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP itu berkata, sukar difahami logik Peguam Negara itu bahawa undi percaya akan menidakkan kuasa Agong untuk melantik Perdana Menteri ketika Yang di-Pertuan Agong sendiri telah mengeluarkan titah bahawa usul undi percaya itu perlu diadakan di Parlimen.

Sehubungan itu, Guan Eng menyifatkan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun telah menunjukkan dirinya sebagai alat politik yang tidak layak dan hilang kelayakan untuk memegang jawatan yang disandangnya sekarang.

“Azhar juga memilih untuk mengikuti jejak abangnya bukan dengan kata-kata tetapi melalui tindakan secara tidak langsung dengan tidak menasihati kerajaan baharu untuk mengemukakan usul undi percaya yang dia dengar sendiri daripada titah Yang DiPertuan Agong.

“Tambahan pula, tiada usul pemilihan Speaker baru ketika Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi telah mengemukakan usul untuk memilih Azalina Othman Said sebagai Speaker Dewan Rakyat yang baharu,” katanya.

Mengikut notis aturan urusan mesyuarat sidang Dewan Rakyat yang bermula 13 September depan yang diedarkan kepada Ahli-ahli Parlimen minggu ini, usul undi percaya kepada Perdana Menteri dan pertukaran Speaker Dewan Rakyat tidak dimasukkan.

Usul pertama yang akan dibentang berkaitan memilih Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu pada hari kedua persidangan Dewan Rakyat, 14 September.

Usul tersebut dibentang susulan kekosongan kerusi berkenaan ekoran peletakan jawatan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said, sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Guan Eng berpendapat Azhar telah mengecewakan ramai Ahli Parlimen dengan prestasi buruk kerana gagal menjunjung ketinggian Parlimen dan bebas daripada perintah eksekutif.

Menurutnya, Azhar juga derhaka dan tidak taat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen semasa darurat.

“Azhar perlu memberi penjelasan mengenai kedua-dua perkara penting ini bagi memastikan Parlimen dibenarkan memainkan peranan semak dan imbang yang baik dalam penumpuan kepada pandemik Covid-19 dan kemelesetan ekonomi demi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian rakyat,” tambah Guan Eng lagi.