Malaysia Dateline

Azhar perlu bertemu Muhyiddin tetapkan segera tarikh persidangan Parlimen

Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun perlu segera bertemu dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menetapkan tarikh seawal mungkin untuk mengadakan sidang Parlimen.

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, Azhar sebagai Speaker perlu menjunjung dan memelihara kuasa tunggal Parlimen dengan mengembalikan fungsinya seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, Azhar selama ini telah gagal menjalankan tugasnya apabila beliau tidak mengecam penggantungan Parlimen, malah membenarkan pihak Eksekutif untuk menggantikan dan mengatasi kedaulatan Dewan Rakyat.

“Agong telah menunjukkan kesedaran yang lebih tinggi berbanding Azhar mengenai kepentingan Parlimen dan menghormati mandat pilihan raya daripada rakyat.

“Azhar tidak boleh sekadar duduk, goyang kaki dan menunggu perkembangan atau arahan Perdana Menteri, yang semestinya ingin menangguhkan sidang Parlimen.

“Azhar harus menyesali kegagalannya dan menebus kesilapan masa lalu dengan mendesak sesi Parlimen seawal mungkin untuk mengembalikan demokrasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu Lim berkata, oleh kerana Azhar sendiri dipanggil menghadap Agong, beliau harus menganggap perkara mengadakan sidang Parlimen sebagai satu keutamaan.

Menurutnya, Pemimpin Pakatan Harapan (PH) juga akan meminta pertemuan seawal mungkin dengan Azhar untuk menyampaikan kepentingan mengembalikan demokrasi Parlimen agar kerajaan rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat, tidak akan lenyap di bawah kerajaan PN.