Azilah dakwa Najib arah bunuh Altantuya

Azilah dakwa Najib arah bunuh Altantuya
(gambar kecil ) Azilah Hadri dan Datuk Seri Mohd NAjib Razak

Banduan yang sedang menunggu hukuman mati, Azilah Hadri membuat pengakuan mengejut bahawa dirinya telah menerima arahan untuk membunuh wanita warganegara Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) itu, membuat akuan bersumpah di penjara Kajang bahawa perintah untuk membunuh Altantuya adalah arahan dari bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak.

Seperti yang dipetik KiniTV, pengakuan kali pertama yang dibuat Azilah hari ini mendakwa, dia dan seorang lagi pegawai polis, Sirul Azhar Umar hanya mengikuti arahan “shoot to kill” (tembak mati).

Dalam akuan berkanun Statutory Declaration (SD) yang bertarikh 17 october 2019, Azilah mendakwa Najib mengarahkannya untuk menangkap dan membunuh Altantuya yang didakwa sebagai ejen penyiasat yang mampu mengganggu-gugat keselamatan negara.

Perincian itu dimasukkan dalam permohonan yang difailkan Azilah kepada Mahkamah Persekutuan bagi menyemak semula keputusan bersalah dan hukuman mati terhadapnya.

Azilah turut mendakwa terdapat keterangan tidak dikemukakan semasa prosiding di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebelum ini.

Dalam akuan berkanun (SD) bagi menyokong permohonannya, Azilah mendakwa Najib mengarahkannya “tangkap dan hapuskan” Altantuya, yang menurutnya, diberitahu sebagai “perisik asing” dan “berbahaya kepada keselamatan negara”.

“Saya bertanya kepada TPM apa yang dimaksudkan dengan tangkap dan hapuskan perisik asing tersebut dan TPM menjawab, ‘Shoot to kill,’ sambil menunjukkan isyarat memotong leher,” SD itu dipetik.

Terkini Najib telah menafikan tuduhan bekas anggota pasukan khas pasukan polis (UTK) Azilah Hadri berhubung arahan pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Seperti yang dipetik dari laporan Malaysiakini, bekas Perdana Menteri itu mempersoalkan kemunculan maklumat tersebut selepas 10 tahun pembunuhan warga Mongolia pada tahun 2006.

Najib mendakwa, bahawa ia boleh menjadi plot pentadbiran Pakatan Harapan untuk mengalihkan perhatian orang ramai dari kelemahannya.