Malaysia Dateline

Azis bidas PSS bukan keputusan mendadak Pakatan Harapan

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman, membidas kenyataan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang menafikan pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS) adalah sebahagian daripada cadangan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

Mohd Azis berkata, tuduhan yang dibuatnya dengan mengatakan PSS diadakan secara mendadak oleh pentadbiran baru kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan negeri Warisan Sabah adalah tidak benar sama sekali.

Pairin yang mempengerusikan Jawatankuasa Teknikal RCI dalam kerajaan terdahulu, turut diingatkan tentang butiran perbincangan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Warga Asing yang pernah dipengerusikannya sendiri.

“Apabila saya menyebut tentang saranan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), saya menyentuh tentang saranan RCI yang meminta supaya dibentuk:

“Jawatankuasa tetap mengenai warga asing atau lebih dikenali dengan nama Jawatankuasa pengurusan warga asing Induk (JKPWAS-INDUK) yang di pengerusikan secara bersama oleh Ketua Menteri Sabah dan Menteri Dalam Negeri.

“Ia juga termasuk, Jawatankuasa kerja atau lebih di kenali sebagai Jawatankuasa Warga Asing Teknikal (JKPWAS – Teknikal) Ketika JKPWAS Teknikal bermesyuarat pada 12 Mei 2015 melalui Bilangan Mesyuarat Bil 2/2015 yang di pengerusikan oleh Beliau sendiri.

“Dalam mesyuarat tersebut, semua mengambil maklum cadangan pengurusan menangani Isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) daripada MKN antaranya perlaksanaan Pas Residen Sabah di percepatkan bagi mengelakkan risiko pemalsuan dokumen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya lagi, melalui ketetapan mesyuarat JKPWAS Teknikal itu, maka perkara tersebut dibawa ke peringkat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing pada 31 Julai 2015 (Bil 2/2015).

Pada ketika itu katanya, mesyuarat tersebut di pengerusikan secara bersama oleh Menteri Dalam Negeri yang ketika itu ialah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Sabah yang ketika itu adalah Tan Sri Musa Aman.

Mohd Azis berkata, dalam mesyuarat tersebut, mereka telah bersetuju antaranya Pass Residen diberikan kepada pemegang-pemegang dokumen IMM13, Kad Burung2 dan Sijil Banci.

“Mesyuarat itu juga menegaskan agar SOP permohonan Pass Residen yang disediakan perlu mengambil kira pelbagai aspek termasuk keselamatan dan keupayaan pemohon dan jawatankuasa khas ditubuhkan untuk meneliti keseluruhan aspek bagi cadangan pemerluasan pass residen yang diketuai oleh KSU, KDN, dan SKN Sabah,” katanya.

Malah, pada 16 Mei 2016, Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing (JKPWAS-Induk Bil 1/2016) yg di pengerusikan oleh Zahid dan Musa Aman mengambil maklum penambahbaikan perlaksanaan Pass Residen Sabah.

Antaranya, menukar nama Pass Residen Sabah kepada Pass Residen Sementara Sabah dan sekali lagi objektifnya untuk menyelesaikan masalah kepelbagaian dokumen pengenalan diri warga asing di sabah.

“Jadi, apa lagi yang ingin dinafikan oleh Pairin, apakah beliau sudah lupa butiran perbincang berlaku dalam mesyuarat yang dipengerusikan beliau sendiri.

“Maklumat lengkap minit mesyuarat semuanya sudah saya dedahkan dan saya juga sudah menjawab dalam sesi pengulungan perbahasan di Dewan Negara semalam, Tan Sri Pairin mungkin sudah lupa,” katanya