Malaysia Dateline

Aziz Bari nafi nama disebut ganti MB Perak

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tebing Tinggi, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, beliau sama sekali tidak tahu namanya disebut-sebut bagi menggantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak.

Katanya, desas-desus tersebut tiada kaitan dengan beliau kerana ia sudah lama diperkatakan sejak sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lagi.

“Biarlah dia orang cakap, saya tidak tahu. Ini bukan hal saya. Cuma saya ada visi saya, dalam dua tiga perkara banyak kita kena baiki. Saya rasa rakyat berhak mendapat sesuatu yang terbaik,’’ katanya, seperti dipetik Utusanonline semalam.

Abdul Aziz turut menyifatkan, dakwaan wujudnya gerakan bagi menyingkirkan Ahmad Faizal Azumu melalui undi tidak percaya pada sidang Dun yang bermula esok sebagai mengarut.

“Perkara itu datang daripada Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Saarani Mohamad. Dia yang dakwa, jadi dia kena jawablah tentang tawaran tersebut.

“Bagi saya, amat pelik bila dia kata perkara ini datang daripada kerajaan sedangkan yang kita lihat, Ahli Parlimen dan Adun BN yang lari daripada parti mereka sekarang ini,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri.

Tegas beliau, adalah pelik apabila anggota kerajaan dikatakan mahu melakukan perkara tersebut terhadap ketuanya sendiri, sedangkan kebiasaannya ia datang daripada pihak pembangkang.

Abdul Aziz berkata, pihak­nya tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang gerakan menyingkirkan Ahmad Faizal dan usul undi tidak percaya berkenaan.

“Jadi nak kata saya terlibat, merancang, bagi hadiah atau menawar…saya kata ini me­ngarutlah,’’ tegasnya.

Isu kedudukan Menteri Besar Perak kembali diperkatakan apabila timbul desas-desus yang mendakwa kedudukan Ahmad Faizal yang juga Ahli Parlimen Tambun dikatakan semakin meruncing apabila beliau didakwa tidak lagi mendapat sokongan majoriti ADdun di Pe­rak termasuk dalam komponen Pakatan Harapan sendiri.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, Ahmad Faizal yang merupakan satu-sa­tunya calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memenangi kerusi Dun Chenderiang dengan menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Choong Shin Heng dan calon Pas, Nordin Hassan dengan majoriti 39 undi.

Ahmad Faizal dilantik sebagai Menteri Besar setelah mendapat majoriti sokongan 31 ADUN termasuk dua Adun  BN yang mengisytihar menjadi calon Bebas.

Selain dua Adun Bebas itu dan Ahmad Faizal, DunPerak yang mempunyai 59 kerusi menyaksikan DAP menguasai 18 kerusi, Amanah (enam kerusi), PKR (empat kerusi), BN (25 kerusi) dan Pas (tiga kerusi).