Ahli PAC mahu Menteri Kewangan dedah status wang 1MDB di Hong Kong

Ahli PAC mahu Menteri Kewangan dedah status wang 1MDB di Hong Kong

 

Menteri Kewangan Lim Guan Eng digesa mendedahkan status wang deposit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melalui Syarikat Brazen Sky yang berpengkalan di Hong Kong kepada rakyat negara ini.

Bekas Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Abdul Aziz Sheik Fadzir berkata, jawatankuasa itu dimaklumkan sejumlah RM937juta sudah dibawa pulang ke negara ini bagaimanapun ujarnya, bakinya masih berada di Hong Kong.

“Saya meminta kepastian daripada MOF berhubung status wang 1MDB di Brazen Sky ini.

“Walaupun saya sama sekali tidak menyangka syarikat 1MDB dan Kementerian Kewangan (MOF) sanggup menyembunyikan fakta sebenar mengenai kedudukan kewangan syarikat berkenaan tetapi saya langsung tidak terkejut dengan pendedahan Menteri Kewangan Lim Guan Eng bahawa Kerajaan selama ini, sudah membayar RM7 bilion sebagai ‘bail out’ untuk syarikat 1MDB.

“Ini kerana sepanjang prosiding 1MDB dan MOF kepada PAC berhubung pelan rasionalisasi syarikat 1MDB saya langsung tidak yakin bahawa pelan rasionalisasi itu akan berjaya,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga memohon menteri kewangan mendedahkan status sebenar deposit 1MDB dengan Aabar BVI yang AS$ 2.55 bilion.

“Ini kerana ia dikategorikan sebagai ‘collateral’ terhadap jaminan Aabar PJS.

“Dan juga sebagai wang pampasan untuk penamatan opsyen bagi pembelian syarikat pengeluar tenaga (IPP), ” katanya.

Baginya, rakyat perlu mengetahui penjelasan sebenar berhubung status wang deposit 1MDB serta pinjaman AS$ 3.5 bilion yang dijamin oleh International Petroleum Investment Company (IPIC).

Beliau juga meminta menteri kewangan mendapatkan maklumat daripada 1MDB mengenai apa yang terjadi kepada pelaburan AS$ 1.5 bilion oleh 1MDB melalui sebuah Syarikat Eropah Timur Tengah.

“Ini kerana PAC yang mendapatkan maklumat mengenai pelaburan itu begitu sangsi sama ada pelaburan itu benar atau sebaliknya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Kulim- Bandar Baharu turut menyatakan, kerajaan perlu tegas terhadap sikap Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda serta Lembaga Pengarah syarikat itu.

“Mereka sanggup bertindak mengeluarkan kenyataan mengelirukan kepada PAC serta bercakap tidak benar ketika prosiding PAC diadakan dan ini suatu penghinaan kepada jawatankuasa berkenaan serta Dewan Rakyat.

“Tindakan undang-undang perlu diambil dengan tegas terhadap mereka yang bertindak demikian bagi memastikan integriti jawatankuasa berkenaan dan parlimen sentiasa terpelihara, ” katanya.

8.0
OVERALL SCORE
: 10.0
2 user votes x 7.0
CATEGORIES
TAGS