Malaysia Dateline

Mohd Azizulhasni Awang

Azizulhasni kembali jalani latihan hadapi Kejohanan Dunia 2020

Jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang kembali menjalani latihan di Velodrom Joe Ciavola, Melbourne, Australia hari ini setelah beransur pulih daripada kecederaan bahu kanan dialaminya ketika beraksi pada pusingan kelima Kejohanan Berbasikal Trek Piala Dunia UCI di Velodrom Anna Meares, Brisbane, Australia 14 Dis lepas.

Juara keirin dunia 2017 itu menerusi hantaran terbaru dalam laman Instagramnya, @azizulhasniawang mengakui, latihan berkenaan sekadar latihan ringan bagi memastikan dirinya kekal cergas untuk menghadapi Kejohanan Berbasikal Trek Dunia UCI di Berlin, Jerman dari 26 Feb sehingga 1 Mac ini yang menawarkan mata ranking ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Kejohanan dunia di Berlin tinggal lebih kurang tujuh minggu sahaja lagi. Sudah tentu saya sedikit gusar dengan keadaan bahu yang belum pulih dan tidak dapat meneruskan latihan seperti biasa, tapi adalah lebih baik bagi saya menumpukan perhatian kepada proses pemulihan dahulu dan meneruskan latihan dengan kadar yang berketetapan.

“Syukur Alhamdulillah , keadaan minggu ini adalah lebih baik daripada minggu sebelumnya dan diharap keadaan akan sentiasa bertambah baik dari semasa ke semasa. Saya percaya, sesuatu yang berlaku itu ada hikmah di sebaliknya. Allah itu Maha Berkuasa ke atas setiap makhlukNya dan Maha Mengetahui lagi Maha Mengasihani,” kata Mohd Azizulhasni.

Pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu sebelum ini meraih pingat emas dalam acara keirin pada pusingan keempat Piala Dunia di Cambridge, New Zealand pada 7 Dis lepas, namun terpaksa membatalkan hasrat menyertai acara pecut pada pusingan kelima Piala Dunia susulan kecederaan bahu kanan yang dialaminya dalam acara keirin.

Mohd Azizulhasni kini menduduki tangga kedua dalam acara keirin dan tempat ke-16 dalam acara pecut ranking dunia UCI.

Berdasarkan format kelayakan, tujuh pelumba terbaik ranking dunia UCI, layak secara automatik ke Sukan Olimpik 2020.

— BERNAMA