Malaysia Dateline

Azizulhasni kongsi khabar kurang baik, kedai basikal jurulatihnya dirompak, basikal mahal lesap dibawa lari

Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang berkongsikan khabar kurang baik berkenaan jurulatihnya, John Beasley yang baru sahaja ditimpa malang apabila kedai basikalnya dilaporkan telah dipecah masuk.

Beliau berkata, individu yang merompak kedai jurulatihnya itu telah memecahkan cermin pintu belakang kedai yang terletak di Melbourne, Australia dan melarikan beberapa basikal mahal.

Beliau juga mengakui rasa hairan kerana dahulu biasa terdengar kedai-kedai emas sahaja yang dipecah masuk, tidak disangka pula kedai basikal pun dijadikan ‘target’.

“Mendapat perkhabaran kurang baik dari Melbourne. Kedai jurulatih saya Beasley Cycles @beasleycycles telah dipecah masuk oleh orang yang tidak bertanggungjawab.

“Dipecahkannya cermin pintu belakang kedai beliau dan dilarikan beberapa basikal mahal. Wahhh gila betul, zaman dulu orang pecah masuk kedai barang kemas atau bank je, sekarang ni kedai basikal dah jadi target juga ye,” katanya dalam satu perkongsian di Facebook.

Azizulhasni juga menyatakan rasa kasihan kerana jurulatihnya itu amat sibuk ketika ini dengan pelbagai urusan penting untuk berpindah ke Malaysia, namun terpaksa berhadapan dengan ujian seperti ini.

“Kesian si John @johnbeasley54 ni, dah la tengah kusut sibuk menguruskan pelbagai urusan penting nak berpindah ke Malaysia, diuji pula dengan dugaan macam ni. Sama-sama kita doakan supaya dipermudahkan segala urusan dia guys.

“Untuk mereka yang tidak tahu, kedai Beasley Cycles ni dah bertapak sejak tahun 1919 lagi. Korang bayangkan dah bagi servis berkenaan basikal selama 103 tahun hokey. Bayangkan ilmu dan pengalaman mereka dalam selok belok dunia basikal ni, you can’t go wrong with them,” ujarnya.

John Beasley

Baca juga: “Pelanggan dari neraka”, punya sakan ‘order’ bermacam jenis kek tapi selepas itu senyap, siap block penjual

Baca juga: “Permohonan ditolak kerana dianggap remeh, menyusahkan”, Hakim tidak benarkan Najib cabar keputusan penjara