Azlan teruskan tugas sebagai MB Perlis walaupun diboikot Adun BN

Azlan ketika berucap dalam majlis penyampaian sumbangan Ramadan semalam.

Walaupun kemelut pelantikan Menteri Besar (MB) Perlis belum selesai, MB yang telah mendapat perkenan Tuanku Raja Perlis, Datuk Seri Azlan Man tetap meneruskan tanggungjawab beliau kepada rakyat negeri ini.

Beliau meneruskan tugas dengan turun padang menemui rakyat Perlis termasuklah menyampaikan sumbangan kepada anak yatim, orang kurang upaya, ibu tunggal dan warga emas di Dun Bintong.

Selain itu beliau juga melawat mangsa ribut di Kampung Baru Sungai Batu Pahat dan Kampung Syed Omar.

Semalam beliau meneruskan lagi tugasan dengan menyampaikan sumbangan sempena Ramadan kepada 2,332 penduduk kurang bernasib baik di Dewan 2020, dalam kawasan Dun Chuping pula.

Ketika bercakap kepada media semalam beliau berkata, beberapa rancangan termasuklah pembangunan yang telah direncanakan akan diteruskan.

“Terdapat beberapa perancangan yang telah pun dibuat sejak penggal yang lalu.

“Manakala ada sesetengahnya pula telah pun dimulakan.

“Pembangunan yang telah pun dipersetujui akan terus dilaksanakan,” jelasnya.

Ketika ditanya bagaimana beliau dapat meneruskan tugas tanpa barisan exco, beliau berkata ini merupakan suatu cabaran biasa.

Dalam majlis sumbangan Ramadan yang diadakan semalam, ia merupakan sumbangan kerajaan negeri yang berjumlah RM349,000 melibatkan semua Dun di negeri Perlis dan akan disalurkan secara berperingkat.

Turut hadir dalam majlis sumbangan tersebut ialah dua Adun BN bagi Dun Chuping, Asmaiza Ahmad serta Adun Mata Ayer, Siti Berenee Yahaya.

CATEGORIES