Azlee Senario nafi bersiaran langsung di TikTok untuk ‘mengemis’ hadiah, anggap ‘gifts’ sebagai penghargaan

Oleh KIM SYAZIE

Pelawak, pelakon dan penyanyi, Azlee Senario, menepis tanggapan negatif segelintir pihak yang melihat golongan artis membuat siaran langsung di Tiktok seakan mengemis dan mengharapkan pemberian ‘gifts’ daripada pengikut di media sosial.

Azlee berkata, dia tidak pernah meminta mahupun merayu kepada pengikutnya untuk memberikan sebarang ‘gifts’ kerana niatnya bersiaran langsung hanya untuk berborak santai dengan peminat.

Jelasnya, pemberian peminat menerusi siaran langsung itu adalah satu bentuk perhargaan yang ikhlas daripada mereka.

“Kerja hakiki saya tetap seorang anak seni. Saya bekerja, ada perniagaan untuk raih pendapatan. Kita bersiaran langsung bukan untuk meminta-minta hadiah. Kita mahu berborak santai dengan peminat.

“Kalau mereka bagi gifts, ibarat seperti berkongsi rezeki. Allah yang gerakkan hati mereka. Saya tak pernah meminta, merayu untuk gifts. Mungkin itu cara mereka mahu balas jasa kami yang pernah hiburkan mereka.

“Bukan mengemis pun. Janganlah lihat kami seperti meminta sedekah. Kami berborak santai, berkongsi pengalaman dan cerita di sebalik tabir sepanjang berpuluh tahun dalam industri seni,” ujarnya memetik Utusan Malaysia.

Menganggap sosial media adalah platform terbaik untuk mendekati peminat, Azlee juga seronok apabila ramai rakan artis yang berniaga produk mereka secara langsung di medium-medium tersebut.

Bukan sahaja golongan selebriti, ramai juga peniaga yang mencari rezeki di platfrom tersebut sekali gus mewujudkan persekitaran positif yang mampu memberi pendapatan dan rezeki kepada mereka.

“Periksa balik hati. Jangan lihat sesuatu dari sudut negatif. Kita fokus kepada mereka yang positif dan ikhlas dalam melayan siaran langsung kita. Kalau yang sengaja kecam, biarkan mereka.

“Jangan ada sifat dengki, cemburu dengan rezeki orang lain. Ramai selebriti yang mungkin tidak ada tawaran buat satu ketika, lantas mereka menjadikan media sosial sebagai platform mereka berniaga.

“Bukan meminta-minta ya. Artis pun ada yang hidupnya tidak sesenang yang anda fikirkan. Kita jangan jadi toksik. Saling menyokong dan mendoakan yang baik-baik. Kalau tak suka, tak apa. Luncur ke atas sahaja,” katanya.

Baca juga: “Lepas suami dapat kerja baru, salah sikit je mengamuk, sekarang dah 8 bulan kami tak bercakap”