Azmil Mustapha stabil selepas sesak nafas, jantung lemah

Azmil Mustapha stabil selepas sesak nafas, jantung lemah

Pelakon era 80-an, Mohd Azmil Mustapha yang terkenal dengan filem “Ali Setan” berada dalam keadaan stabil walaupun tidak sedarkan diri di Unit Jagaan Koronari Hospital Putrajaya, kata adik bongsunya Mohd Aziph Mustapha.

Mohd Aziph berkata beliau dimaklumkan oleh doktor yang merawat abang sulungnya bahawa keadaan abangnya masih tidak ada perubahan sejak doktor memberikan ubat supaya “tidur” selepas mengalami sesak nafas dan jantungnya sangat lemah pada pukul 4 petang kelmarin.

“Doktor memberikan ubat supaya abang saya tidur kerana jantungnya begitu lemah. Pada masa ini abang saya menggunakan alat bantuan pernafasan.

“Doktor turut memaklumkan bahawa abang saya dalam keadaan belum bersedia untuk mengurangkan ubat dan berhenti menggunakan bantuan alat pernafasan,” katanya ketika ditemui di lobi Hospital Putrajaya di sini semalam.

Mohd Aziph berkata Mohd Azmil, 62, yang menjalani pembedahan pintasan jantung pada 2010 di Syria sering menjalani pemeriksaan berkala di Hospital Putrajaya.

“Pagi semalam (kelmarin) ketika abang saya dimasukkan ke wad, beliau berada dalam keadaan baik malah sempat bergurau dengan saya dan anak-anaknya. Melihatkan keadaan abang yang biasa sahaja ketika itu, saya berlepas ke Langkawi atas urusan kerja.

“Bagaimanapun, pada kira-kira pukul 4 petang, abang mengadu sesak nafas sehingga pihak hospital terpaksa menghubungi saya memaklumkan bahawa abang saya akan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri. Saya tiba dari Langkawi lewat malam tadi,” katanya.

Mohd Aziph menambah anggota keluarga yang melawat abang sulungnya tidak dibenarkan berada berhampiran dengan katil beliau dan hanya meninjau keadaan beliau menerusi tingkap kaca.

Beliau turut berterima kasih kepada para peminat yang tidak henti-henti memberikan kata-kata semangat dan mendoakan kesihatan abangnya.

“Saya berharap semua pihak akan terus mendoakan kesihatan abang,” katanya sambil menambah Mohd Azmil merupakan anak sulung dalam tujuh orang adik beradik.

Jelas beliau dua orang adik Mohd Azmil yang menetap di Amerika Syarikat dan Kaherah kini dalam perjalanan pulang untuk melawat abang sulung mereka.

Mohd Azmil yang popular menerusi lakonan beliau dalam filem pecah panggung Mekanik dan Ali Setan merupakan bapa tunggal kepada lima orang anak berusia 15 hingga 32 tahun.

Beliau turut mempunyai tiga cucu berusia lima hingga setahun.

TAGS