Malaysia Dateline

Azmin ada ‘fix deposit’ Muhyiddin untuk kekal jadi PM, tidak mungkin dipecat

Walaupun terdapat petisyen mendesak Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meletak jawatan sudah mencecah 150,000 undi ketika berita ini ditulis, Tan Sri Muhyiddin tidak mungkin akan memecat Menteri MITI itu sewenang-wenangnya.

Ini kerana, menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi Azmin ada ‘fix deposit’ untuk Muhyiddin kekal sebagai Perdana Menteri.

“Lagi pun Azmin deliver. Dia akan pujuk 3 hingga 4 orang lagi MP pembangkang sokong PN,” katanya.

Bagi Puad, Azmin merupakan aset penting tidak seperti Tajuddin Abdul Rahman atau Hamzah Zainuddin

“Dia aset. Tajuddin bukan aset. Hamzah pun macam tidak mampu bersaing dengan Azmin. Tetapi sehari dua ini Hamzah mula bersuara. Mula turun ke bawah.

“Cuma Hamzah belum tutup pintu depan dan pintu belakang. Hamzah tidak ada tapi..tapi.. macam Ismail Sabri. Mampukah PM 8 kawal mereka berdua itu,” katanya.

Katanya, Azmin memiliki kekebalan walaupun ramai pihak mempertikaikannya dengan isu-isu kontroversi seperti isu peribadi hinggalah ke isu melibatkan kementerian.

“Tapi semuanya beres. Cara Azmin ialah, nafi, tidak mengaku, muka selamba dan “bargaining power,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Tan Sri Shahrir Samad yakin dan percaya Muhyiddin tidak akan menghantar surat pemecatan kepada Azmin.

“Tapi takkan PM nak hantar surat pecat. Kan semua ‘total lockdown’, opis tutup, tak de siapa nak taip surat tu,” sindir Shahrir.

“Kita naikkan ke 200,000 je,” kata Shahrir merujuk kepada undi petisyen desak Azmin letak jawatan.

Kes positif COVID-19 semakin hari semakin bertambah walaupun kerajaan telah mengumumkan PKP penuh sejak 1 Jun lalu, ramai pihak mempertikaikan usaha kerajaan tidak bersungguh-sungguh membendung COVID-19 apabila terdapat lebih 128,000 syarikat dibenarkan beroperasi.

Keadaan ini menjadi lebih kontroversi apabila Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob seolah-olah putus asa apabila ada pihak cuba menghalang usaha membendung pandemik ini melalui statusnya “Saya dah tutup pintu depan tapi…..”.