Malaysia Dateline

Azmin ajak Umno bincang 13 kerusi Parlimen yang jadi rebutan

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengajak Umno untuk kembali ke meja rundingan bagi membincangkan sekurang-kurangnya 13 kerusi Parlimen yang menjadi salah satu punca keretakan dalam kerjasama parti tersebut.

Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, Umno tidak seharusnya memusnahkan kerajaan yang dibina bersama sejak setahun lalu.

“Hanya 13 kerusi yang menjadi pertikaian. Yang dikatakan mereka menang atas tiket parti lain (Umno) dan kemudian mereka pindah ke parti lain (Bersatu).

“Tetapi pertanyaan saya ialah apakah dengan 13 kerusi ini kita mahu musnahkan 222 kerusi lagi?

“Apakah kerana 13 ini kita mahu runtuhkan sebuah kerajaan yang kita bina bersama?

“Maka saya ingin ambil pendekatan, jika itulah isunya, ayuh mari kita tumpu perbincangan terhadap 13 kerusi ini. Itu pendekatan yang patut diambil,” katanya dipetik Sinar Ahad.

Bekas Timbalan Presiden PKR itu berkata, tidak wajar untuk mengorbankan sebuah kerajaan dan kerjasama politik hanya disebabkan perbalahan tersebut.

“Kita berbeza pandangan 13 (kerusi Parlimen), tetapi yang ada bakinya 209 kerusi tiada masalah. Mengapa kita harus bergaduh kerana 13 (kerusi Parlimen) ini. Jadi saya fikir, kita perlu letakkan objektif kita secara jujur.

“Saya tidak kata 13 kerusi ini tiada masalah. Kalau itulah yang menjadi tuntutan mereka, ayuh kita bincang.

“Jangan kerana 13 kerusi Parlimen ini seluruh kerajaan mahu diruntuhkan. Saya rasa itu tidak adil,” kata Pengarah Pilihan Raya PN itu lagi.

Berikut senarai kerusi Parlimen dimenangi Umno pada PRU14 tetapi kini milik Bersatu:

Tasek Gelugor, Pulau Pinang – Datuk Shabudin Yahaya

Bagan Serai, Perak – Datuk Dr Noor Azmi Ghazali

Larut, Perak – Datuk Seri Hamzah Zainudin

Bukit Gantang, Perak – Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal

Sabak Bernam, Selangor – Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh

Masjid Tanah, Melaka – Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin

Mersing, Johor – Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad

Jeli, Kelantan – Datuk Seri Mustapa Mohamed

Tanah Merah, Kelantan – Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz

Hulu Terengganu, Terengganu – Datuk Rosol Wahid

Beaufort, Sabah – Datuk Azizah Mohd Dun

Beluran, Sabah – Datuk Seri Dr Ronald Kiandee

Kudat, Sabah – Datuk Abd Rahim Bakri

Libaran, Sabah – Datuk Zakaria Mohd Edris

Sipitang, Sabah – Yamani Hafez Musa