Malaysia Dateline

Azmin akan pengerusikan mesyuarat pertama MTEN di Kelantan

Kerajaan Pakatan Harapan komited untuk merapatkan jurang antara wilayah sebagai agenda utama dalam tiga tahun terakhir Rancangan Malaysia Ke-11 dan tidak akan membiarkan mana-mana negeri tertinggal ke belakang.

Kementerian Hal Ehwal Ekonomi berkata, menterinya Datuk Seri Mohamaes Azmin Ali akan memulakan lawatan ke Kelantan esok dan beberapa negeri lain sehingga 8 Mac ini untuk memeterai kerjasama erat dengan kerajaan-kerajaan negeri.

Selaku Pengerusi Majlis Tindakan Negeri (MTN) Kelantan, Azmin akan mempengerusikan Mesyuarat MTN Kelantan dan membentangkan beberapa kertas cadangan dan pelaksanaan program pembangunan ekonomi negeri itu.

Kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam perkara ini penting untuk memastikan usaha pembangunan fizikal dan sosial ke seluruh Kelantan dapat memberikan impak yang optimum kepada negeri dan rakyatnya.

Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Kelantan berkembang 4.9 peratus setahun bagi tempoh 2016 hingga 2017 berbanding pertumbuhan nasional sebanyak 5.1 peratus.

Pada tahun 2017, ekonomi Kelantan telah menyumbang 1.8 peratus kepada KDNK nasional.

Kerajaan pimpinan Pakatan Harapan terus komited untuk menyuntik pertumbuhan dinamik di Negeri Kelantan dan kesejahteraan kepada rakyatnya.