Malaysia Dateline

Azmin akan umum kerusi ditandingi pada pemilihan parti selepas PRK Sungai Kandis

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan membuat keputusan sama ada mengekalkan jawatannya i atau akan bertanding kerusi Presiden selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Kandis, Sabtu ini (4 Ogos).

Beliau yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata buat masa ini pihaknya sedang menumpukan persiapan dan kempen PRK berkenaan.

Ditanya mengenai keputusan Naib Presiden Rafizi Ramli untuk bertanding jawatan timbalan presiden, Mohamed Azmin menegaskan mana-mana individu bergelar anggota parti berhak menawarkan khidmat dalam perjuangan PKR.

“Saya hormati keputusan beliau (Rafizi) dan ia satu proses demokrasi yang tak perlu dipandang pelik kerana ini kekuatan PKR. Saya memegang jawatan sekarang ini selama 20 tahun pun kerana pertandingan (dalam pemilihan parti).

“Saya tak pernah diberi jawatan percuma dan itu sebenarnya perkukuhkan lagi peranan kita dalam parti,” katanya kepada media selepas menghadiri progrem Santai BBQ dalam kempen calon PKR Mohd Zawawi Ahmad Mughni malam ini tadi.

Menyentuh mengenai pelantikannya dalam Khazanah pula, Mohamed Azmin menyatakan penghargaan atas kepercayaan Perdana Menteri dan pelantikan tersebut hanya dimaklumkan kepadanya petang tadi.

“Dengan pelantikan ini, saya akan mengembalikan syarikat kepada peranan asalnya dan akan membincangkan secara terperinci dalam mesyuarat akan datang pada masa terdekat.

“Namun, sebelum itu, kita akan memanggil semua Ahli Lembaga Pengarah bagi meneliti keutamaan yang perlu dilaksanakan,” ujarnya