Malaysia Dateline

Azmin Ali ‘mengintai’ Parlimen Batu Pahat?

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dikatakan bakal bertanding di Parlimen Batu Pahat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor, Serudin Soud berkata, hal tersebut dimaklumkan oleh beberapa pihak yang dikatakan cenderung menyokong bekas Timbalan Presiden PKR itu.

“Sumber tersebut memaklumkan bahawa kerusi panas Parlimen Batu Pahat ini akan ditandingi oleh Azmin Ali.

“Boleh dikatakan percaturan sudah mula berlangsung di antara parti komponen PN sekiranya perkara ini benar-benar terjadi,” lapor Johorkini.

Azmin yang juga bekas Menteri Besar Selangor kini penyandang Ahli Parlimen Gombak sejak 2008.

Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri) dalam Kabinet XXL Muhyiddin Yassin itu dikatakan sebagai dalang utama dalam Langkah Sheraton yang menamatkan hayat 22 bulan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Mengulas lanjut, Serudin juga memberitahu penyandang Parlimen Batu Pahat, Datuk Rashid Hasnon akan memberi laluan kepada Azmin untuk bertanding di situ.

Bahkan, difahamkan bahawa persetujuan melibatkan Timbalan Speaker Dewan Rakyat itu telah dibincangkan dan turut mendapat sambutan daripada parti komponen PN.

“Mungkin juga Umno perlu memberi laluan kepada Azmin untuk bertanding di Parlimen tersebut.

“Ia adalah suatu perkhabaran yang memeranjatkan apabila Azmin yang lebih dikenali di kawasan Selangor atau pun Wilayah Persekutuan akan berpindah ke Johor.

“Andai khabar ini benar-benar berlaku, ia agenda untuk Azmin yang kini takut berdepan pengundi beliau di kawasan Gombak,” jelas Serudin lagi.