Malaysia Dateline

Azmin Ali perlu hentikan politik fitnah

Saya agak terkejut dan sejujurnya merasa lucu dengan kenyataan Azmin Ali, Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) dalam usahanya memburukkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Menurut Azmin Ali dalam kenyataannya semalam, beliau meminta Ketua Pembangkang itu menghentikan permainan politik kerana rakyat sudah muak dengan situasi politik yang tidak menentu sekarang.

Namun begitu, tidakkah kerajaan PN sepatutnya gembira barisan pemimpin pembangkang bersetuju untuk meluluskan dasar belanjawan peringkat pertama seperti yang dititahkan oleh Yang di Pertuan Agong (YDPA)? Kenyataan daripada Istana Negara juga mengucapkan terima kasih kepada semua MP yang meluluskan dasar belanjawan tersebut, jadi apa yang derhaka di mata Azmin Ali? Jangan jadikan istana sebagai perisai untuk menghalalkan cara politik keji beliau. Azmin Ali sepatutnya bersyukur kerana pihak pembangkang memberi laluan mudah kepada pihak kerajaan meluluskan belanjawan seperti yang dititahkan YDPA Sultan Abdullah.

Bacaan peringkat kedua dan ketiga adalah isu teknikal yang perlu dijawab berdasarkan data dan statistik. Agak lucu apabila Azmin Ali cuba membandingkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai mantan Menteri Kewangan di mana beliau menyatakan Anwar tidak pernah berkongsi maklumat dengan pihak pembangkang ketika beliau menjadi Menteri Kewangan.

Nasihat saya pada Azmin Ali selain belajar matematik mungkin beliau perlu belajar sejarah. Perlu diingat sejarah Malaysia pembangkang hanya mula kuat selepas ledakan reformasi pada tahun 1998 dan seingat saya berdasarkan hansard Parlimen belum ada mana-mana pihak pembangkang mempertikaikan isu belanjawan seperti apa yang terjadi sekarang. Jadi tidak perlulah Azmin Ali membuat perbandingan berat sebelah dengan membandingkan Anwar Ibrahim dan Tengku Zafrul kerana situasi politik dahulu dan kini juga berubah.

Saya ambil contoh mudah, jika dulu untuk seseorang menjadi Perdana Menteri perlu mempunyai kerusi majoriti Parlimen namun selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Perdana Menteri datangnya daripada kerusi parti minoriti. Tidakkah situasi ini sudah berbeza setelah 22 tahun berlalu?

Azmin Ali juga dalam kenyataannya menyatakan Dr Mahathir adalah arkitek kepada pembentukan Perikatan Nasional (PN), saya tidak tahu apa motif kenyataan Azmin adakah beliau sengaja ingin mengeruhkan keadaan di antara barisan pembangkang yang lain cuma yang pasti rakyat menilai setiap gerak geri ahli politik Malaysia.

Mungkin ada sedikit benar kenyataannya namun saya percaya tujuan Azmin Ali mengeluarkan kenyataan sedemikian hanya ingin mengeruhkan hubungan antara Anwar Ibrahim dan Mahathir serta cubaan memecah-belahkan barisan pembangkang yang ada. Mungkin Azmin Ali perlu kurangkan kenyataan provokasi dan fokus pada bantuan untuk rakyat sahaja. Bukankah beliau baru sahaja menyebut rakyat sudah muak dengan permainan politik? “Takkan Azmin mudah lupa dengan apa yang disebut”

——————–
Penulis adalah aktivis politik di Terenganu.