Azmin Ali tidak akan dikenakan tindakan tatatertib

Azmin Ali tidak akan dikenakan tindakan tatatertib

Tiada sebarang tindakan tatatertib akan dikenakan kepada Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berikutan beberapa kali tidak hadir dalam mesyuarat parti itu.

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kasim berkata, pihaknya tidak mengeluarkan sebarang surat peringatan kepada Ahli Parlimen Gombak tersebut.

“Tiada sebab untuk kami mengeluarkan surat tindakan disiplin kepada beliau (Azmin) kerana dia tidak melakukan apa apa (kesalahan).

“Itu (tidak hadir mesyuarat parti) bukan urusan atau bidang kuasa Lembaga Disiplin, itu urusan Setiausaha Agung PKR,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri mesyuarat parti itu, di ibu pejabat PKR, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pertanyaan wartawan berhubung ketidakhadiran Mohamed Azmin dalam beberapa mesyuarat parti sebelum ini.

Turut hadir, Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad; Naib Presiden, Chang Lih Kang dan Pengarah Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Difahamkan, Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu tidak menghadiri lapan mesyuarat parti sejak memenangi jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti, tahun lalu.

Azmin sebelum ini menjelaskan, beliau tidak dapat menghadiri mesyuarat parti kerana masanya bertembung dengan program Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, tanggungjawab yang dipikul memerlukan dirinya membahagikan tugas sebagai pemimpin parti politik dan kerajaan.

Sementara itu Ahmad turut memaklumkan, Lembaga Disiplin parti juga tidak mengambil tindakan disiplin terhadap Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang sebelum ini dilaporkan mengeluarkan kenyataan tidak wajar berkaitan video intim mirip seorang menteri.

Beliau berkata, Amirudin dan Farhash telah memberikan maklum balas dan menjawab surat yang diberikan kepada mereka berdua.

“Hari ini saya bentangkan kepada Biro Politik tentang intipati jawapan yang telah mereka berikan. Secara umumnya, Biro Politik menerima penjelasan daripada mereka berdua.

“Menteri Besar Selangor (Amirudin) telah menunjukkan satu sifat yang baik, menghormati kepimpinan dan beliau menyatakan bahawa tidak berhasrat untuk memanjangkan isu berkenaan.

“Apa beliau curahkan itu hanyalah satu pandangan yang umum yang tidak menyentuh mana-mana kepimpinan.

“Begitu juga Farhash yang menyesali kenyataan dia. Beliau memohon maaf kepada kepimpinan dan berikrar untuk tidak mengulangi lagi kenyataan-kenyataan tersebut sekali gus berazam untuk menjaga tatatertib sebagai pimpinan,” katanya lagi.