Malaysia Dateline

Azmin bidas Noh isu roboh rumah di Subang

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membidas Tan Sri Noh Omar yang didakwa mempunyai kuasa lebih mutlak menentukan sebarang keputusan membabitkan isu perobohan tiga rumah dan dua kedai di pekarangan masjid Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz (LTSAA) di Subang Rabu lalu.

Beliau berkata, sepatutnya menteri kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan itu yang membuat panggilan telefon untuk menghentikannya kerana tanah berkenaan milik kerajaan persekutuan.

Sebelum ini Noh mendakwa beliau boleh menghentikan perobohan itu dengan hanya membuat panggilan telefon.

“Suruh dia patuh undang-undang. Tanah itu tanah kerajaan persekutuan. Patutnya dia lah yang buat panggilan itu,” kata Azmin kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Skim Smart Sewa di Bandar Kinrara hari ini.

Rumah dan kedai tersebut sebelum ini didiami bekas ahli jawatankuasa masjid LTSAA dan tindakan merobohkannya dijalankan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam dan Pejabat Tanah dan Daerah Petaling.

Bagaimanapun, prihatin terhadap kemelut berkenaan, Kerajaan Negeri menawarkan inisiatif kediaman di Pusat Perumahan Rakyat (PPR), Kota Damansara kepada dua keluarga terlibat.

Pada masa sama, Kerajaan Negeri turut bersetuju membiayai kos sewa unit-unit kediaman baru bagi tempoh enam bulan sebelum unit-unit berkenaan ditawarkan kepada dua keluarga berkenaan.