Malaysia Dateline

Azmin dakwa keputusan buka semula ekonomi libatkan Menteri Besar, Ketua Menteri

Tampil selepas diserang banyak pihak, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata keputusan kerajaan membuka semula sektor ekonomi turut membabitkan proses libat urus dengan wakil kerajaan negeri.

Bercakap dalam dalam temubual dengan Astro Awani malam tadi, katanya, Menteri Besar dan Ketua Menteri turut dilibatkan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan kertas mengenai pembukaan semula sektor ekonomi dibentangkan pada 28 April lalu.

Jelasnya, perbincangan panjang lebar berlangsung mengenai keadaan semasa ekonomi negara dengan semua Menteri Besar.

Sebelum tarikh itu, Azmin berkata, pihaknya turut membentangkan kertas sama kepada kepada Majlis Tindakan Ekonomi yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri pada 27 April lalu membabitkan wakil swasta dan kerajaan.

“Kita mula aktiviti ekonomi ini secara berperingkat. Pada PKP 1 dan 2 tumpu aktiviti ekonomi pembekalan makanan dan bahan pembuatan kerana ini kumpulan perkhidmatan perlu. Kita bukan (buka) lapan sektor (terus).

“Perdana Menteri dalam ucapan sebelum ini menegaskan kerajaan ambil keputusan buka ekonomi secara meluas tetapi tertakluk kepada SOP (prosedur operasi standard) begitu komprehensif dan ketat,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menafikan dakwaan bahawa keputusan kerajaan membuka semula sektor ekonomi bermula kelmarin dilakukan secara tergesa-gesa.

Menurut Azmin, kebenaran untuk membuka semua sektor ekonomi semasa negara berdepan penularan pandemik Covid-19 bukan keputusan mudah kerana kerajaan mengambil langkah berhati-hati, teliti dan bertanggungjawab.

Tegasnya, keputusan diambil juga tidak langsung mengabaikan pandangan dan penjelasan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai situasi semasa wabak pandemik di negara ini.

“Saya nak nyatakan di sini, ini bukan satu keputusan yang mudah untuk diambil kerajaan. Kita mengambil keputusan ini secara berhati-hati dan teliti serta bertanggungjawab.

“Keputusan ini didukung data dan kajian yang telah dibentangkan oleh Bank Negara Malaysia, Khazanah Nasional, Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan dan Industri,” katanya lagi.