Azmin diberi tempoh 14 hari usir Pas dari kerajaan negeri Selangor

Azmin diberi tempoh 14 hari usir Pas dari kerajaan negeri Selangor

 

 Kumpulan aktivis Gerakan Aktivis Harapan (GAH) menuntut Datuk Seri Azmin Ali mengusir Pas daripada kerajaan negeri Selangor dalam tempoh 14 hari jika benar Menteri Besar itu komited untuk memacu kekuatan Pakatan Harapan.

Zanirun BabaJurucakap GAH, Zanirun Baba (gambar kiri) berkata, Timbalan Presiden PKR itu juga dicabar untuk menyegerakan pembentukan Sekretariat Pakatan Harapan di Selangor dan menolak dominasi parti di mana-mana posisi dalam sekretariat tersebut.

Menurutnya, Azmin sebagai Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan mesti mengutamakan kesamarataan antara kesemua komponen parti dalam sekretariat itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bahawa Azmin akur dengan keputusan Pakatan Harapan untuk menolak sebarang perbincangan dengan Pas dan janjinya akan mengukuhkan jentera pilihan raya bagi menghadapi tiga penjuru.

Sehubungan itu, GAH, ujarnya, turut mendesak Azmin memaklumkan kepada kelompok kartelnya untuk menolak lantikan politik dalam kerajaan negeri Kelantan serta menerima secara inklusif penyokong Pakatan Harapan dalam keputusan dasar siasahnya.

“Tanpa sebarang tindakan daripada Azmin, kenyataannya hanyalah auta dan sandiwara sahaja yang tidak bersandarkan kepada kesungguhan dan realiti.

“Maka adalah berhak untuk semua pihak menperlecehkannya dan menolaknya dalam PRU (Pilihan Raya Umum) nanti,” tegas Zanirun bersama lima jurucakap GAH lain.

{loadposition myposition} Mereka berpendapat kenyataan terbaharu Azmin yang sebelum ini umum dikenali mahu terus berunding dengan Pas sekadar melepas batuk ditangga serta memperlihatkan keikhlasan yang amat lemah daripada pemimpin yang mulai menceburi politik pada 1987 atas peluang yang diberi Tun Mahathir itu.

“Oleh itu, GAH masih berpendirian bahawa kelompok Azmin atau Kartel adalah parasit yang membawa barah kepada PH jika tidak berhati-hati. Kelicikan tindak tanduknya harus dihadam secara tersirat,” tambah kumpulan aktivis Pakatan Harapan itu lagi.

Turut bersama dalam kenyataan itu Othman Ismail, Annuar Ismail, Mohd Saad Ismail, Lee Thian Soo dan Dr Maniam.

CATEGORIES
TAGS