Malaysia Dateline

Azmin digesa selesaikan masalah rantaian bekalan makanan

Jawatankuasa Khas Bekalan Makanan yang dipengerusikan oleh Menteri Kanan, Datuk Seri Azmin Ali harus berusaha dengan lebih bersungguh-sungguh menyelesaikan masalah rantaian bekalan dalam sektor makanan.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Faiz Fadzil berkata, kerajaan perlu meneliti masalah rantaian bekalan dan memudahkan penghantaran ikan ke pasaran sepanjang wabak Covid-19 ini.

Dalam kenyataan bersama bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin, mereka mencadangkan kepada kerajaan agar melaksanakan Skim Jaminan Beli Balik untuk membeli semua ikan lebihan yang ditangkap oleh nelayan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

“Langkah ini akan menjamin sekuriti makanan negara. LKIM boleh ditugaskan untuk melaksanakan Skim Jaminan Beli Balik ini.

“Rangkaian Persatuan Nelayan dalam LKIM adalah cekap untuk melaksanakan skim tersebut. LKIM juga boleh memasarkan ke pasar nelayan dengan cepat,” ujar mereka.

Kedu-dua wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang itu berpendapat jaminan Perdana Menteri tentang bekalan makanan bercanggah dengan apa yang berlaku di lapangan.

“Walaupun Perdana Menteri berkata bahawa makanan cukup, tapi rakyat tidak dapat merasainya,” ujarnya.

Sehubungan itu, Faiz dan Tze Tzin menggesa kerajaan agar serius menyelesaikan masalah gangguan rantaian bekalan makanan sebelum rakyat tidak lagi mendapat ikan segar di pasaran atau lebih parah kekurangan bekalan ikan pada masa akan datang.