Malaysia Dateline

Azmin dikecam tayang ‘menu simple’ ayam goreng, nasi panas

Orang ramai mengecam dan menyindir tindakan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memuatnaik gambar makan malam di Facebook yang konon dakwanya sebagai ringkas.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu memberitahu, dia dapat menyambung kerja selepas bertenaga kerana menjamah hidangan tersebut.

“Menu simple untuk makan malam ini. Ayam goreng, telur, sambal, nasi panas dan ditemani anak abah seorang ini.

“Alhamdulillah, dapat saya sambung kerja dengan bertenaga semula,” catatnya di laman sosial itu yang menerima kira-kira 1,600 komentar dan 156 perkongsian setakat ini.

Walau bagaimanapun, rata-rata warga maya berpendapat aksi Azmin yang sebelum ini dikenali sebagai dalang Langkah Sheraton sebagai berlebih-lebihan.

“Alhamdulilah. Ingatkan makan mi segera hari-hari,” sindir Deno Haizal Mohamed Hassan.

Bagi pengguna Facebook, Ariff Isa pula menulis, “Tak perlu riak pun. Ramai lagi yang susah.”

Tidak kurang juga yang menempelak Azmin bertanyakan bagaimana juadah sekiranya bukan ringkas.

“Kalau tak simple macam mana? Penuh satu meja ke lauk?” perli Zulfazli Helmi.

Azmin menayangkan hidangan yang kononnya bersifat marhaen dengan latar dipercayai di kediaman rasmi di Putrajaya itu ketika 32 juta penduduk Malaysia sedang ‘berkurung’ menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sehubungan itu, ada warganet turut menyarankan adalah lebih baik Azmin berkongsikan tindakan atau langkah kerajaan melalui kementerian diterajuinya yang telah dan akan diambil ketika mendepani impak penularan wabak koronavirus baharu (Covid-19).