Azmin diperkenan Sultan Selangor terima jawatan menteri kabinet

Azmin diperkenan Sultan Selangor terima jawatan menteri kabinet

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk menerima jawatan Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan melepaskan kedudukannya sebagai menteri besar.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, Azmin bagaimanapun akan kekal memegang jawatan itu sehingga peralihan kuasa kepada menteri besar baharu dapat dijalankan secara lancar dan teratur.

“Duli Yang Maha Mulia Tuanku telah memberi perkenan kepada Azmin memegang jawatan Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

“Azmin akan melepaskan jawatan sebagai menteri besar sebaik sahaja Duli Yang Maha Mulia Tuanku berkenan melantik menteri besar yang baru,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Munir juga berkata Azmin perlu mengemukakan senarai calon penggantinya untuk diteliti Sultan Sharafuddin.

Calon pengganti bagi jawatan menteri besar itu sudah tersebar luas antara nama yang disebut bakal dilantik sebagai menteri besar Sleangor ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Tua Amiruddin Shari dan Adun Seri Setia Dr Shaharuddin Badaruddin.

Dengan perkenan Sultana Selangor itu Mohamed Azmin antara barisan 13 menteri kabinet baharu Pakatan harapan yang akan mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertuan Agong pada jam 5.00 petang di Istana Negara hari ini.

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
Have no any user vote