Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali disarankan supaya menghormati Presiden dan parti, kata Timbalan Ketua Wanita PKR Negeri Perlis, Bibi Faridah Ghulam Hyder.
Beliau berkata, Mohamed Azmin sewajarnya menghormati setiap keputusan yang telah disepakati oleh parti tanpa menimbulkan apa jua bentuk kecelaruan.

“Sebagai contoh keputusan yang telah diambil bagi perasmian Kongres Angkatan Muda Keadilan adalah Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan harus dihormati oleh semua pihak.
“Lebih-lebih lagi sebagai Timbalan Presiden sudah pasti beliau dapat menerima setiap keputusan dengan hati terbuka agar ianya dapat diteladani oleh pimpinan ‘grass root’ (akar umbi) yang ada.
“Contoh yang baik tanpa apa jua prejudis akan mampu memberi imej yang lebih ketrampilan dan mampu menjadi ikutan kepada pimpinan cabang dan negeri yang lain,” tegasnya.
Beliau diminta mengulas mengenai pembatalan jemputan ke atas Mohamed Azmin oleh PKR Pusat yang disifatkannya sebagai cubaan menutup mulutnya daripada menegur pimpinan parti itu.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu menyifatkan sebagai amalan tidak sihat parti dan turut melihat perkembangan itu sebagai cubaan memecah-belahkan perpaduan dalam kalangan ahli parti.
Ini susulan seramai 21 daripada 25 Ahli Pimpinan Pusat AMK membantah keputusan itu dan menyifatkannya sebagai ‘cerminan’ terhadap keadaan PKR yang dilanda krisis kepemimpinan ketika ini.
Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sarawak menyifatkan jemputan Pengerusi Majlis Penasihat PKR Dr Wan Azizah untuk merasmikan Kongres Nasional AMK itu telah membelakangkan Mohamed Azmin selaku Timbalan Presiden parti kerana tradisinya seorang Timbalan Presiden akan merasmikan kongres.
Keadaan ini disulitkan lagi apabila Mohamed Azmin gagal memberikan maklumbalas selepas 6 minggu surat jemputan dihantar kepadanya bagi tujuan pengesahan kehadiran antara faktor Dr Wan Azizah dijemput untuk merasmikan Kongress Nasional AMK.
Mengulas lanjut Bibi Faridah berpendapat, setiap perbezaan pandangan haruslah dibawa ke meja perundingan, apatah lagi sekiranya ia melibatkan perkara yang melibatkan kepentingan parti dan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Beliau juga berkata, menggunakan media untuk menzahirkan rasa tidak puas hati oleh mana-mana pimpinan bukan suatu tindakan yang bijak.
Sebaliknya ujar beliau, ia akan memberi persepsi negatif bukan saja kepada parti tetapi juga mencalarkan nama baik kerajaan PH sedia ada.
“Kekalahan dalam PRK Tg Piai sudah pun mencalarkan imej PH dan kepimpinan yang ada.
“Adalah tidak wajar segala kemelut dalaman parti dengan menyalahkan mana-mana pihak yang tidak sehaluan.
“Cara yang baik ialah menyelesaikan segala perbezaan dengan cara berhemah dan penuh hikmah supaya setiap tindakan bukan saja dihurmati tetapi juga menjadi ikutan pimpinan bawahan,” tambah beliau yang juga merupakan Ketua Wanita PKR Cabang Padang Besar.