Malaysia Dateline

Azmin diserang selepas benarkan buka kedai gunting rambut

Pelbagai rekaan grafik visual berbaur sindiran tular di media sosial susulan kebenaran Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk operasi perkhidmatan gunting rambut asas.

Bekas Timbalan Presiden PKR itu disindir dengan tindakannya sebelum ini meninggalkan parti serta mengkhianati kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Peristiwa yang ada menggelarkannya sebagai Langkah Sheraton pada Februari lalu menyaksikan Azmin dan sekumpulan pemimpin PKR lain menyertai kerajaan pintu belakang bersama Umno, Pas dan Bersatu.

Untuk rekod, perkhidmatan gunting rambut asas dan kedai cermin mata antara sembilan sektor ekonomi disenaraikan MITI yang mendapat kebenaran beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 28 April ini.

Pemerhatian Malaysia Dateline turut mendapati, hantaran Azmin di Facebook rasminya berkenaan kebenaran operasi tersebut juga dibanjiri kecaman.

Rata-rata warganet menyifatkan keputusan MITI itu hanya akan menyebabkan usaha PKP fasa pertama dan kedua sia-sia.

“Kedai dobi 24 jam dengan kedai gunting rambut, kedai cermin mata tak penting. Takut nanti lagi ramai kena Covid-19. Ramai pekerja akan keluar dan ramai pelanggan akan masuk. Tak gunalah sambung PKP,” kata Siti Suhaina.

Setakat ini, siaran media yang dikongsikan di Facebook Azmin itu menerima lebih 1,500 reaksi dengan termasuk emoji marah dengan lebih 600 komen serta lebih 200 perkongsian.

Bahkan, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah semalam menasihatkan kerajaan mengekalkan tindakan digunakan pakai dalam pelaksanaan PKP fasa satu dan dua bagi tempoh lanjutan bermula Rabu ini

Malah, beliau menegaskan tindakan seharusnya diperketatkan untuk fasa ketiga dan menyeru agar semua orang mengamalkan penjarakan fizikal.

Dalam masa sama, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun turut mengambil keputusan menangguhkan kebenaran Kerajaan Persekutuan untuk membenarkan operasi kedai gunting rambut dan kedai cermin mata.

Beliau berkata, pihaknya bimbang terhadap kedua-dua perkhidmatan itu yang dilihat berurus niaga secara terus dengan masyarakat tanpa adanya penjarakan sosial yang digariskan KKM bagi mengekang penularan wabak koronavirus Covid-19.

Sehubungan itu, kerajaan negeri katanya, menangguhkan terlebih dulu kebenaran operasi tersebut sehingga mendapat satu prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan oleh KKM.