Malaysia Dateline

Azmin ibarat meludah ke langit, enam bekas Menteri Kabinet penyebab PH gagal

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali diibaratkan seperti meludah ke langit terhambur ke muka sendiri apabila menganggap pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan adalah gagal.

Komunikasi Pemuda AMANAH Gombak berkata, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu seolah-olah sedang menyatakan keburukan yang diciptanya sendiri.

Lebih menghairankan katanya, Azmin sendiri merupakan Menteri Ekonomi ketika PH memerintah.

“Jika benar PH gagal memerintah, bukankah Datuk Seri juga terlibat dalam menguruskannya, malah beliau adalah Naib Presiden PH ketika itu.

“Jika benar ada kecurangan yang berlaku dalam pentadbiran PH, beliaulah salah seorang Menterinya. Modal kempen ahli Bersatu itu ibarat sebagai meludah ke langit. Apa yang dinyatakan semuanya terhambur pada orang yang bercakap itu.

“Beliaulah yang gagal menguruskan pentadbiran,” katanya kepada Malaysia Dateline hari ini.

Terdahulu, bekas Timbalan Presiden PKR yang dipecat itu mendakwa, ramai rakyat di negara ini akan mati dijangkiti Covid-19 jika PH masih memerintah kerana Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan enggan mengeluarkan peruntukan.

Mengulas lanjut, Pemuda AMANAH Gombak menasihatkan Azmin dan kumpulannya memikirkan modal yang lebih berkesan untuk mempengaruhi pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim dan rakyat Malaysia.

Menurutnya lagi, anak muda tidak akan lupa pengkhianatan yang dilakukan terhadap PH dan kelembapan urus tadbir yang pernah berlaku semasa Ahli Parlimen Gombak itu sendiri berada di dalam PH.

“Seramai enam Menteri Kabinet PH ketika itu kini berada dalam PN.

“Adakah mereka semua tidak berfungsi ketika itu atau pun merekalah sebahagian utama kerajaan PH gagal dan lemah?” soalnya lagi.